KOTA TINGGI: Setelah lima tahun terhenti, seorang peneroka di sini teruja apabila dapat mengelilingi daerah ini sambil membawa ‘bahtera merdeka’ yang dipasang di keretanya.
Arbaain Mohamad, 58, peneroka Felda Tenggaroh Selatan 1 mula melakukan jelajah merdeka itu pada 2008, namun terhenti selama lima tahun selepas kesihatannya tidak mengizinkan selain pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Kini dia dapat menjelajah semula ke sekolah dan kawasan sekitar daerah ini untuk mempamerkan ‘bahtera merdeka’ yang dihiasi dengan 365 Jalur Gemilang.
“Bahtera merdeka ini adalah rangka yang dipacak bendera itu kami gelarkan sebagai bahtera. Pada awalnya rakan satu blok saya, Husin Sabahi yang membawa bahtera merdeka ini selama dua tahun pada 2006 hingga 2007 sebelum saya sambung menggunakan kereta saya sendiri.
“Selama lima tahun saya tak bawa Jalur Gemilang, ramai warga Tanjung Sedili yang bertanya kenapa tak bawa kereta bendera, katanya tak meriah kalau saya tak bawa kereta bendera itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, sebanyak RM3,500 dibelanjakan untuk jelajah itu, ada juga Jalur Gemilang yang ditaja oleh pihak wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Biasanya, jelajah tersebut bermula dari Felda Tenggaroh Selatan ke Tanjung Sedili, Tanjung Balau, Bandar Penawar, Telok Sengat dan bandar Kota Tinggi.
“Tidak dinafikan sepanjang memandu kenderaan dengan ‘bahtera merdeka’ hanya perasaan bangga yang tersemat dalam sanubari saya.
“Saya bangga kerana dapat bawa bendera Malaysia di atas jalan raya. Bahkan setiap kali saya berhenti di pusat peranginan, contohnya Telok Mahkota, Tanjung Balau, Telok Sengat pasti akan dapat sambutan yang luar biasa daripada orang ramai yang mahu merakam gambar,” katanya.
Selain pusat tumpuan orang ramai, dia turut melakukan jelajah ke sekolah dan tadika untuk bersama-sama memeriahkan sambutan hari kebangsaan.
Arbaain turut merancang memperluas kawasan jelajahnya pada masa akan datang dengan bergerak ke daerah lain. – UTUSAN