JOHOR BAHRU: Seorang banduan wanita yang ditahan di Penjara Kajang, Selangor didakwa lagi atas lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana menipu lima mangsa melibatkan nilai RM5,235.
Tertuduh, Nurul Yasmin Rosli, 33, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, R. Salini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menipu lima individu berkaitan pembelian pelbagai barangan elektrik, antaranya televisyen, seterika, periuk nasi, vakum dan periuk memasak pelbagai guna.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar bandar raya Johor Bahru antara 16 Februari hingga 25 Jun tahun lalu.
Kesemua mangsa diperdaya untuk memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadi milik tertuduh dan ibunya, Melati Zainol, namun tiada sebarang pembelian perkakasan tersebut dilakukan.
Mengikut fakta kes, kesemua mangsa diperdaya selepas menghubungi nombor telefon yang tertera dalam laman Instagram bernama ‘Beauty Saranghae’ dikendalikan tertuduh.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, berserta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh meminta hukuman penjara berjalan secara serentak bermula dari tarikh ditangkap, iaitu pada 7 September tahun lalu.
“Saya memohon mahkamah meringankan hukuman kerana mempunyai seorang anak perempuan yang baharu dilahirkan pada Februari lalu di Penjara Kajang, dengan suami kini tidak bekerja untuk menjaga bayi berkenaan,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama 80 bulan yang berjalan secara serentak.
Tertuduh sebelum ini pernah didakwa bersama-sama ibunya di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 13 September 2021 atas beberapa pertuduhan menipu penjualan barang elektrik dan perkakasan dapur yang tidak wujud membabitkan kerugian berjumlah RM41,645.
Pada 14 Ogos 2019, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas empat pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM12,000 pada 2012 dan 2013. – UTUSAN