JOHOR BAHRU: Balu kepada mangsa pertama Covid-19 negara, Noradilah Rani, 35, kini bergelar usahawan kecil-kecilan dalam usahanya menampung kehidupan bersama enam anak yang masih kecil selepas kehilangan suami akibat virus berkenaan.
Menurutnya, sejak suaminya, Muhammad Yusuf Haron meninggal dunia pada 17 Mac 2020, dia yang bergelar suri rumah pada ketika itu perlu memikirkan cara menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Noradilah kemudiannya ‘berguru’ dengan seorang rakan yang menjalankan perniagaan ayam gunting secara kecil-kecilan sebelum membuka gerainya tidak lama kemudian.
“Alhamdulillah, walaupun pendapatan tidak terlalu besar tetapi setidak-tidaknya dapat membantu saya menampung keperluan diri dan enam anak yang masih kecil, termasuk empat yang sedang bersekolah. Insiden itu telah mengubah kehidupan saya, daripada seorang suri rumah kepada peniaga gerai kecil-kecilan.
“Saya berniaga setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 5 petang hingga 11 malam di Majidee, di sini, namun pendapatan tidak tetap dan bergantung keadaan cuaca. Jika hujan lebat pelanggan juga kurang,” katanya pada program penyerahan sumbangan oleh Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kepada anak-anak yatim akibat Covid-19 di pusat beli-belah Aeon Bandar Dato’ Onn di sini hari ini.
Allahyarham Muhammad Yusuf yang menyertai perhimpunan Tabligh Masjid Sri Petaling di ibu negara tahun lalu menjadi mangsa pertama dalam kumpulan itu yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Sebelum itu, Muhammad Yusuf dirawat di Hospital Permai pada 12 Mac 2020 selepas disahkan positif Covid-19 dan meninggal dunia lima hari kemudian.
Noradilah bersyukur dengan sumbangan yang diterima daripada ISMA, khususnya melibatkan kelengkapan persekolahan dan wang belanja bulanan bagi semua anaknya.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada ISMA dan rakyat Malaysia yang menyumbang untuk program ini, sumbangan yang diterima itu akan saya guna untuk memastikan kesemua anak mendapat pendidikan formal seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA, Asma Ahmad memberitahu, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan berjumlah RM1 juta untuk menjayakan program Tabung Anak Yatim Covid-19 ISMA.
“Menerusi program ini, ISMA menyampaikan sumbangan kepada seramai 22 anak yatim terdiri daripada tujuh buah keluarga di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM30,000. Sumbangan itu berupa kelengkapan harian keluarga, kelengkapan persekolahan anak-anak dan duit belanja bulanan mereka.
“Kita berhasrat untuk membantu anak-anak yatim ini bukan sahaja secara ‘one-off‘ tetapi sehingga mereka berusia 17 tahun, iaitu sepanjang tempoh persekolahan mereka,” katanya sambil mengalu-alukan sumbangan orang ramai menerusi akaun Maybank milik Ikatan Muslimin Malaysia bernombor 562218201823 dengan rujukan Anak Yatim Covid. – UTUSAN