KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan atlet sukan negara sebagai wira dan wirawati sebenar kerana sumbangan mereka sangat besar terutama mengharumkan nama Malaysia di luar negara.
Perdana Menteri berkata, atlet negara juga setaraf dengan pemimpin utama negara seperti Perdana Menteri kerana usaha mereka membolehkan Jalur Gemilang dikibarkan dan lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang di serata dunia.
“Taraf atlet di luar negara sama macam Perdana Menteri. Sebab bukan mudah untuk kibarkan bendera kita di luar negara. Biasanya jalur gemilang dikibarkan apabila Perdana Menteri mengadakan lawatan sahaja.
“Lagu Negaraku pun tidak akan berkumandang kalau atlet kita tidak meraih kejayaan dalam kejohanan yang disertai,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan (AGM) Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) ke-7 di sini, hari ini.
Yang hadir sama dalam majlis perasmian itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa memastikan atlet dan bekas atlet mendapat pembelaan yang sewajarnya terutama ketika mereka berdepan kesulitan dalam meneruskan kehidupan.
“Ramai yang berdepan rintangan untuk meneruskan kehidupan. Sebab itu pada 2007, Yakeb didaftar dan 2008 Yakeb dilancar untuk menjaga kepentingan atlet ini. Kita tidak mahu mengagungkan atlet sewaktu mereka berjaya saja, tapi selepas itu dilupakan,” katanya. – UTUSAN