ALOR SETAR: Di sebalik keghairahan Pas membuat tawaran ‘Malaysia Sejahtera’ kepada seluruh rakyat, kalangan ahli parti itu turut diingatkan supaya bermuhasabah diri untuk tidak berbalah antara satu sama lain.
Wakil Sidang As-Sabiqun, Ismail Mohamad berkata, nasihat daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 pagi ini cukup menyentuh hati kerana isu dalaman parti itu tidak pernah selesai sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku ketika masing-masing menjunjung kalimah Allah dalam menjalani kehidupan.
“Kami telah melalui proses ini begitu lama hingga ada individu yang menyaman Pas kawasan sendiri sampaikan nak buat aktiviti pun tak boleh.
“Kita buat saja program, polis dah sampai kerana disaman oleh ‘dalaman’ dan inilah persoalan yang perlu diselesaikan untuk melahirkan Malaysia Sejahtera. Sebelum kita lahirkan rakyat Malaysia Sejahtera yang memberi undi hingga Pas boleh menang dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU), ahli Pas mesti laksanakan apa yang disebut Presiden (untuk tidak berkelahi),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah dekat sini, hari ini.
Dalam ucapan dasarnya, Abdul Hadi berkata, Pas mestilah menunjukkan perpaduan yang kuat dalam parti selain menasihatkan kalangan ahli agar tidak berkelahi di semua peringkat termasuk cawangan, kawasan, negeri, dewan-dewan dan Pusat.
Abdul Hadi turut mengingatkan supaya semua pihak taat dan walak kepada keputusan parti serta kepimpinan sama ada suka atau tidak, selagi tidak menyalahi syarak.
Ismail dalam pada itu turut mengingatkan semua ahli parti itu agar tidak menuduh orang lain sebagai punca kepada perpecahan yang berlaku dalam Pas.
“Perpecahan dalam Pas ini akibat kita sendiri. Kadang-kadang kita tuduh orang lain sedangkan kitalah akibat kepada perpecahan ini.
“Kita biarkan ‘benda’ ini merebak hingga akhirnya menjadi besar dan melahirkan kumpulan-kumpulan tertentu. Kumpulan inilah yang akan mempengaruhi dan membawa perpecahan lebih besar,” katanya. – UTUSAN