PETALING JAYA: Gara-gara sakit tekak berpanjangan, penyanyi Ara Johari memaklumkan, perlu lebih berhati-hati dan mengelakkan daripada melakukan perkara yang akan memburukkan lagi kesihatan suaranya.
Kata Ara, keadaan itu berlarutan agak lama dan telah memberi kesan kepada mutu nyanyian sehingga menjejaskan persembahannya ketika membawakan lagu bernada tinggi.
“Keadaan ini berlarutan sejak dua bulan lepas, bermula demam biasa pada 24 Julai lalu. Sakit tekak saya belum hilang sepenuhnya sampai sekarang.
“Saya telah merujuk perkara ini kepada pakar, namun difahamkan ia tidak teruk dan tidak memerlukan pembedahan.
“Atas nasihat doktor, saya kena jaga makan dan minum seperti kurangkan pengambilan makanan pedas dan elakkan minuman berais,” katanya yang ditemui usai showcase A Night With Ara Johari di PJ Performing Arts Centre, Petaling Jaya, dekat sini, malam tadi.
Kata Ara, disebabkan masalah itu, dia perlu berhati-hati dan menyanyi dengan teknik yang bersesuaian bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.
“Saya masih boleh menyanyi, tetapi buat masa ini bukan dengan nada asal. Menyanyi lagu tinggi agak mencabar kerana tekak rasa gatal dan kering,” ujarnya.
Ara juga mengakui, risau dengan keadaan tersebut dan berharap akan segera sembuh.
“Saya bekerja guna suara. Jadi, saya risau kalau satu hari nanti suara saya hilang.
“Sekarang memang saya ikut nasihat doktor, jaga betul-betul supaya keadaan ini pulih segera,” tambahnya.