Anugerah dan pengiktirafan tidak sama – Noraniza Idris

Anugerah dan pengiktirafan tidak sama – Noraniza Idris

NORANIZA Idris (memegang sijil MBOR) selepas menerima pengiktirafan menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi bilangan penari paling ramai dalam persembanagan Irama Malaysia tidak sama dengan mana-mana anugerah lagu kata penyanyi Noraniza Idris.

Katanya, pengiktirafan tersebut membuktikan seseorang itu telah memberikan sumbangan baharu dalam bidang yang diceburi.

“Ia tidak sama seperti kita menang anugerah kerana peng­iktirafan ini membuktikan kita telah melahirkan sesuatu yang baharu buat gene­rasi pelapis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Noranizas yang mencatat satu lagi sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi bila­ngan penari paling ramai dalam persembahan Irama Malaysia di Dataran Merdeka, kelmarin.

Acara itu disertai oleh 565 pelajar, terdiri daripada pelajar sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan antarabangsa dari Universiti Putra Malaysia. Mereka mengiringi persembahan Noraniza membawakan lagu Ala Ewa-Ewa, duet bersama Hazama serta dua lagu popularnya, Intan Payung dan Dikir Puteri.

Acara yang mencipta rekod berlangsung selama tujuh minit itu bagi menutup tirai Festival Permainan Malaysia anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kese­nian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan.

Noraniza berkata, pengiktirafan itu membakar sema­ngatnya untuk terus berusaha memartabatkan genre irama Malaysia dan etnik kreatif, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Sebagai penganjur, saya te­ruja apabila usaha ini mendapat pengiktirafan kerana tidak mudah mengendalikan acara dalam skala besar, apatah lagi untuk mendapat pengiktirafan MBOR.

“Apabila mereka hadir untuk mengikuti program ini, ia memberikan saya kepuasan kerana itu bermakna, matlamat kita tercapai,” katanya.

Noraniza juga mengharapkan usaha itu dapat menjadi panduan buat generasi pelapis dalam tarian tradisional.

Penyanyi lagu Dikir Puteri itu berkata, biarpun hampir berputus asa berdepan pelbagai cabaran menjelang acara, dia bersyukur mendapat sokongan daripada pelbagai pihak pada saat akhir.

“Ia menjadi hari bersejarah buat saya, terutama apabila dapat mengetengahkan lagu Irama Malaysia dalam sebuah persembahan tradisional daripada peserta yang tidak mempunyai asas dalam seni dan budaya,” katanya.

“Mereka diajar dalam tempoh lapan hari. Kalau diikutkan, memang tidak jadi, tetapi saat akhir kami mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia dan sekolah antarabangsa untuk menjayakan program ini.

“Pelbagai cabaran dan duga­an, namun Alhamdulillah berkat doa serta kesabaran semua, kita berjaya selesaikan usaha ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya