KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Ambank menjelaskan penalti RM1.8 bilion kepada Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu iaitu amaun terbesar yang pernah dibayar kepada bank pusat tersebut dalam sejarah perbankan negara.
Isu berkenaan dibangkitkan oleh pihak pembelaan pada perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Sharil @ Shahrir Ab. Samad yang didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak Najib berjumlah RM1 juta.
Pengurus Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 43, berkata, beliau mengetahui bank itu membayar sejumlah penyelesaian yang besar kepada BNM namun tidak pasti sama ada ia merupakan satu penalti atau denda.
Ketika ditanya oleh peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir, Uma memberitahu beliau tidak pasti jumlah sebenar yang dijelaskan namun mengetahui ia mencecah berbilion ringgit.
Saksi pendakwaan ke-12 juga menyatakan tidak pasti sama ada penyelesaian itu berkaitan aktiviti pengurusan kewangan Ambank Cawangan Raja Chulan.
Menjawab soalan balas Syed Faisal Al-Edros, saksi juga tidak mengetahui sama ada amaun yang dijelaskan itu mempunyai kaitan dengan akaun bekas Perdana Menteri yang diuruskan oleh Ambank cawangannya.
“Penyelesaian tidak datang secara tiba-tiba, mesti ada kesalahan dibuat. Ambank akan bincang dengan BNM untuk membuat penyelesaian,” ujar peguam itu pada sesi soal balas.
Sewaktu ditanya oleh Syed Faisal Al-Edros sama ada RM1.8 bilion itu merupakan amaun terbesar yang pernah direkodkan dalam sejarah perbankan negara, Uma menyatakan tidak pasti sama ada penyelesaian itu melibatkan bank lain.
Shahrir sedang dibicarakan atas tuduhan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pendapatan yang diterima melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.
Menurut pertuduhan, Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Shahrir didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 24 April 2014 di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – UTUSAN