KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Aman Shah Abu Kassim disahkan meninggal dunia pada usia 68 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi akibat komplikasi jantung.
Berita duka itu disahkan pembantu peribadi adik Allahyarham, Amirudin Mokhtar.
“Ya, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 2.20 petang tadi. Dia mengalami komplikasi jantung selepas menjalani pembedahan malam tadi.
“Allahyarham dimasukkan ke hospital tiga hari lepas. Sekarang kami sedang menunggu proses selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, pelakon, Lizawati Hamdan yang berada di IJN dan turut mengesahkan perkara terbabit.
“Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung,” katanya.
Aman amat diingati peminat dengan lagunya Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan semasa ketibaan Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN