SUNGAI PETANI: Seorang ahli perniagaan wanita direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan tidak wujud pada Jun lalu.
Majistret Nurul Ainna Ahmad mengeluarkan perintah tahanan tersebut terhadap wanita berusia 23 tahun itu selepas mendapat permohonan polis di Mahkamah Sungai Petani hari ini.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah dengan diiringi polis kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum proses reman terhadapnya selesai sejam kemudian.
Perintah tahanan reman itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pada 7 September lalu, seorang wanita yang disyaki terlibat dalam skim pelaburan dikenali sebagai Savingbywaniey atau Free Cash (FC) ditahan polis ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling secara sukarela pada pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, wanita itu diburu polis selepas pihaknya menerima sebanyak 33 laporan daripada mangsa yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan berkenaan sehingga mencecah kerugian RM1.2 juta.
Dua wanita lain yang sebelum ini ditahan kerana dikatakan turut terlibat dalam pelaburan itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kejadian awal Jun lalu, seorang mangsa yang merupakan pembantu kedai berusia 30 tahun telah membuat laporan polis bagi membolehkan kertas siasatan dibuka.
Mangsa tertarik dengan satu iklan di laman sosial Facebook yang menjanjikan pulangan wang lebih besar hingga menyebabkan mangsa membuat banyak transaksi.
Bagaimanapun, apabila sampai tempoh dijanjikan, keuntungan yang ditawarkan tidak diperolehi dan mangsa mendakwa suspek menghilangkan diri. – UTUSAN