Agong teruja namakan masjid baharu

Agong teruja namakan masjid baharu Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan menandatangani plak perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah teruja menyempurnakan majlis perasmian masjid baharu Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang diberi nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah. 

Baginda mengakui teruja kerana ia masjid pertama di negeri ini dinamakan atas nama Seri Paduka.

“Syukur, lapang dada saya kerana inilah masjid yang pertama di bawah nama Al-Sultan Abdullah,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini hari ini yang turut dimasyhurkan sebagai Masjid Daerah Maran yang baharu. 

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah yang menjadi mercu tanda dan ikonik baharu di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, dibina di atas tapak berkeluasan 4.04 hektar. 

Projek pembinaan masjid bernilai RM9.5 juta itu, bermula pada 12 Oktober 2015 dan siap sepenuhnya pada Januari 2018. 

Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan mana-mana masjid di negeri ini sebagai tempat untuk berpolitik.  

Titah Seri Paduka, baginda tidak membenarkan sama sekali institusi masjid dijadikan gelanggang mana-mana golongan mengambil kesempatan mempengaruhi jemaah.

“Jangan sekali-kali menjadikan masjid tempat mencerca sesama umat… bertelingkah dan apatah lagi menjadikan gelanggang politik. 

“Dalam hal ini saya memang tidak membenarkan mana-mana pihak yang mempolitikkan rumah Allah ini, jadikan ini sebagai ingatan buat kita semua dan saya harap tidak ada yang mempertikaikan arahan ini,” tegas baginda.

Baginda menegaskan, kesucian masjid perlu dipertahankan daripada perkara-perkara yang memecahbelahkan perpaduan ummah.

“Oleh itu pengurusan masjid perlu peka dan proaktif menolak mana-mana pihak mempergunakan masjid bagi tujuan politik,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya