PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah berkenan berangkat menghadiri Istiadat Penghormatan Terakhir dan Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth II di London, United Kingdom (UK).
Dalam rangka Lawatan Khas ke London yang bermula hari ini sehingga 21 September, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka berdua turut berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Raja Britain, Raja Charles Ill, yang dijadualkan berlangsung pada malam 18 September.
Beliau berkata, Seri Paduka juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua negara asing ketika berada di London sempena Lawatan Khas itu.
“Keberangkatan Seri Paduka berdua ke London adalah atas jemputan rasmi Kerajaan United Kingdom.
“Ekoran daripada Lawatan Khas itu juga, maka Lawatan Negara Seri Paduka berdua ke Singapura selama tiga hari yang telah dijadualkan bermula pada 19 September ditangguh kepada suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Seri Paduka mempunyai hubungan baik dengan Raja Charles III dan persahabatan ini telah terjalin sejak lebih empat dekad lalu. Seri Paduka berdua, antaranya pernah bermain bersama dalam sukan Polo Berkuda, bermula pada zaman remaja, di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ratu Elizabeth II merupakan pemerintah paling lama dalam sejarah dunia moden, menghembuskan nafas terakhir pada 9 September lalu pada usia 96 tahun.
Ratu Elizabeth atau Elizabeth Alexandra Mary dilahirkan di 17 Bruton St, London, pada 21 April 1926.
Ratu Elizabeth adalah ratu pemerintah kepada 15 negara termasuk UK, Australia, Kanada, New Zealand, Jamaica, Antigua dan Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, St Kitts dan Nevis, St Lucia, St Vincent dan Grenadines dan Tuvalu. – UTUSAN