Abdul Rahman sahkan kembali tanding PRU15 - Utusan Malaysia

Abdul Rahman sahkan kembali tanding PRU15

ABDUL Rahman Dahlan (dua kiri) semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan akan membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu berkata, beliau akan berada dalam senarai calon BN pada PRU akan datang.

“Saya tidak keberatan menawarkan diri untuk bertanding tapi, yang penting nama saya berada dalam senarai calon bersama-sama dengan rakan lain untuk memastikan BN mendapat kedudukan terbaik pada PRU nanti.

“Namun ia masih bergantung kepada keputusan parti. Cuma, saya diberikan beberapa gambaran aspirasi kepimpinan parti untuk saya menawarkan diri menjadi calon PRU,” katanya selepas majlis perasmian Klinik Bergerak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) hari ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut memberi bayangan akan menawan semula kerusi Parlimen Kota Belud yang pernah dimenangi sebelum ini.

Abdul Rahman berkata, beliau tidak pernah meninggalkan Kota Belud sebaliknya, beliau diarahkan untuk bertanding di Parlimen Sepanggar oleh kepimpinan parti pada PRU14.

Walau bagaimanapun, strategi itu tidak mengena kerana beliau dipindahkan ke Sepanggar dalam tempoh tiga bulan sebelum PRU.

“Sehingga kini, biarpun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Kota Belud, beliau tetap meneruskan janji bagi membangunkan sebuah politeknik.

“Jadi, selama lima tahun ini, walaupun tidak bergelar wakil rakyat di sana, saya berusaha mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Politeknik Kota Belud,” katanya.

Menurutnya, kelulusan fasa pertama bagi pembangunan politeknik itu telah diberikan dan beliau akan menyambung semula usaha yang tergendala selepas PRU lalu.

Katanya, selaku Ketua UMNO Bahagian Tuaran, beliau turut memberi keutamaan kepada kawasan tersebut tapi, itu bukan keputusan yang boleh dibuat sendirian, ia bergantung kepada parti.

“Apa-apa pun saya akan patuh kepada keputusan parti, di mana sahaja saya dicalonkan,” katanya.

Pada PRU14, Abdul Rahman tewas kepada Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) Datuk Mohd. Azis Jamman yang menang dengan majoriti 12,984 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya