828 badan sukan dibatal pendaftaran

828 badan sukan dibatal pendaftaran

RAZIM Mohd. Noor (kiri) dan Hatta Mohd. Yasin dalam sidang akhbar sempena Program Anti-rasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 828 badan sukan di negara ini dibatalkan pendaftarannya dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (Pjs) selepas dikesan tidak lagi bergerak aktif setakat 31 Ogos lalu.

Ketua Penolong Pjs, Hatta Mohd. Yasin berkata, tindakan pembatalan pendaftaran tersebut dibuat selepas kegagalan badan-badan sukan berkenaan menghantar laporan aktiviti tahunan mereka dalam tempoh masa lebih tiga tahun lalu.

Beliau berkata, ini termasuk  soal tadbir urus yang tidak berjalan dengan baik.

“Sejak Akta Pembangunan Sukan 1997 atau Akta 576 diperkenal dan dikuatkuasakan pada 1998, sehingga September 2022, terdapat 12,263 badan sukan yang  didaftarkan dengan Pejabat Pjs,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Anti-rasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Menurut Hatta, kesemua badan sukan berdaftar itu terdiri daripada 223 badan sukan peringkat kebangsaan, 1,496 (negeri), 1,701 (daerah) dan 8,843 di peringkat kelab.

Dalam perkembangan lain, Hatta memaklumkan bahawa kelemahan tadbir urus badan-badan sukan tertentu boleh menyumbang kepada penyalahgunaan kuasa termasuklah penyelewengan dana yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan sukan negara.

Jelasnya, pengurusan badan sukan adalah secara sukarela oleh individu yang diberi tanggungjawab oleh ahli-ahli dalam badan sukan setelah dipilih untuk menjawat jawatan-jawatan tertentu.

“Bagaimanapun, badan-badan sukan ini terdedah kepada ketidakaturan pemegang jawatan sehingga boleh menjurus kepada pelakuan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam dana yang diterima dari kerajaan.

“Pemberian dan bantuan oleh kerajaan ini, jika tidak dikawal melalui penguatkuasaan yang ketat mampu menjurus kepada penyelewengan dan salah guna kuasa dalam persatuan sukan oleh individu tertentu demi kepentingan peribadinya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor berkata, rasuah dalam industri sukan itu memang wujud termasuklah salah guna kuasa melibatkan dana.

“Jadi bagi mereka yang tamak atau sebagai cara mudah nak dapatkan duit akan mengakibatkan dana berkenaan tidak sampai kepada kumpulan sasaran.

“Ada dimaklumkan oleh wakil Pjs bahawa terdapat kelemahan-kelemahan dalam tadbir urus persatuan sukan berkenaan yang menyebabkan rasuah mudah berlaku, jadi kita membantu dalam memperkemaskan sistem dan prosedur dalam operasi harian mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya