400 Tabika Kemas rosak, usang dibaik pulih

400 Tabika Kemas rosak, usang dibaik pulih

SEBAHAGIAN daripada murid Tabika Kemas yang menyertai Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - FOTO/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kira-kira 400 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) milik Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara yang rosak akibat bencana banjir dan usang sedang dibaik pulih ketika ini. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun berkata,  pihaknya menyalurkan peruntukan keseluruhan hampir RM9 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih Tabika terlibat.

“Kerja baik pulih semua Tabika ini telah berjalan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini. Sebahagian besar lokasinya ialah di Pahang, Selangor dan Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Terengganu di sini, semalam.

Seramai 424 murid Tabika Kemas dari lapan daerah di seluruh Terengganu terlibat dalam program tersebut yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Pengarah Kemas Negeri Terengganu, Dr. Faridah Mat.

Selain baik pulih Tabika yang rosak, beliau berkata, Kemas juga akan membina 73 buah Tabika baharu di seluruh negara untuk memenuhi permintaan ibu bapa yang semakin memberangsangkan sejak kebelakangan ini.

“Pembinaan itu turut melibatkan 10 lokasi baharu di Terengganu. Penambahan Tabika di seluruh negara ini akan memberi manfaat pendidikan awal yang berkualiti kepada lebih 1,800 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun di luar bandar.

“Setiap tahun, Kemas akan membina Tabika baharu berdasarkan permohonan di peringkat daerah, negeri dan ia adalah seiring dengan pertambahan kanak-kanak susulan peningkatan penduduk di negara ini,” katanya.

Setakat ini katanya, Kemas mempunyai lebih 10,000 Tabika melibatkan lebih 200,000 murid di seluruh negara.

Pada perkembangan lain, beliau berkata, hampir 10 peratus Tabika Kemas di seluruh negara akan terpilih untuk merealisasikan elemen Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas bermula tahun depan.

“Kesemua Tabika yang terlibat akan dibekalkan komputer riba, televisyen pintar dan jaringan jalur lebar secara berperingkat sebelum kemudahan itu dikembangkan ke Tabika Kemas lain di seluruh negara.

“Kemas komited dalam menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif untuk kanak-kanak agar kualiti pendidikan awal yang ditawarkan adalah setara dengan Tabika swasta terkenal yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya