37 pekerja warga asing terjunam ke dalam gaung - Utusan Malaysia

37 pekerja warga asing terjunam ke dalam gaung

BAS kilang yang membawa 37 pekerja warga asing terjunam ke dalam gaung selepas terbabas di Jalan Kesang Pajak, Durian Tunggal, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Nasib 37 pekerja warga asing sebuah kilang bagai ‘telur di hujung tanduk’ selepas bas pekerja dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Jalan Kesang Pajak, Durian Tunggal di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 8 malam, namun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

Bagaimanapun katanya, insiden itu menyebabkan tiga mangsa dihantar ke Zon Merah Hospital Jasin, lima mangsa (Zon Kuning), tujuh mangsa (Zon Hijau) dan 23 lagi dirawat di klinik panel.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 56 tahun merupakan warga tempatan turut cedera pada bahagian kepala serta muka dan dihantar ke Zon Kuning Hospital Jasin untuk rawatan susulan.

“Hasil siasatan mendapati bas terlibat dari arah kilang Ansell, Ayer Keroh menghala ke asrama pekerja di Durian Tunggal. Kesemua mangsa merupakan pekerja asing warga Myanmar dan Nepal.

“Sampai  di Jalan Kesang Pajak, lokasi kemalangan iaitu kawasan menuruni bukit dipercayai bas kilang itu terbabas sendiri sehingga masuk ke dalam gaung. Anggaran kedalaman gaung dari jalan adalah lebih kurang 15 meter,” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Arshad, setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai disebabkan faktor pemandu gagal mengawal kenderaan.

“Lokasi nahas melibatkan satu lorong menuruni bukit. Faktor cuaca adalah dalam keadaan baik meskipun keadaan gelap berlampu jalan. Kita percaya nahas disebabkan faktor manusia, gagal mengawal kenderaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya