HULU TERENGGANU: Seramai 35,000 pengunjung dijangka menggunakan perkhidmatan rumah bot dan bot laju di destinasi pelancongan Tasik Kenyir, di sini sepanjang musim cuti sekolah selama seminggu bermula Jumaat lalu.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, A. Aziz A. Rahim, 50, berkata, jumlah pengunjung itu berdasarkan tempahan yang diterima 71 pengusaha rumah bot dalam tempoh tersebut.
Katanya, jumlah rumah bot yang beroperasi di tasik itu adalah sebanyak 80 buah manakala jumlah bot laju pula 42 buah.
“Melihat kedatangan pengunjung yang sesak sejak awal musim cuti sekolah, kita jangka kira-kira 35,000 pelancong bercuti menggunakan perkhidmatan rumah bot dan bot laju dengan mengunjungi destinasi menarik di Tasik Kenyir,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini, semalam.
Menurutnya, seramai 200,000 pengunjung menaiki rumah bot yang direkodkan bermula Januari hingga Ogos lalu dengan purata antara 25,000 hingga 30,000 orang setiap bulan.
Bagaimanapun, katanya, bagi bot laju pula pihaknya tidak mempunyai data kerana kebanyakan pelancong datang secara walk in (datang terus). –UTUSAN