32 pengunjung Lata Ulu Kasar cemas terperangkap kepala air

32 pengunjung Lata Payung cemas terperangkap kepala air

SEBAHAGIAN daripada kereta yang terperangkap dan hampir tenggelam dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong, Setiu, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seramai 32 pengunjung di Lata Payung, Ulu Kasar, Sungai Tong  di sini berdepan detik cemas apabila mereka terperangkap dalam kejadian kepala air selepas hujan lebat, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, tiada mangsa yang hanyut dan lemas selepas kebanyakan mereka yang sedang mandi di sungai dan berehat di kawasan rekreasi itu berada tempat selamat.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, kesemua mangsa yang berada di kawasan rekreasi tersebut terperangkap apabila air sungai tersebut secara tiba-tiba mengalir deras dan paras air semakin tinggi.

Selain itu, katanya, sebanyak enam buah kereta yang diletakkan di kawasan itu turut terperangkap dan dua daripada kereta tersebut iaitu jenis Perodua Aruz dan Proton Savvy dihanyutkan arus deras.

“Mangsa terperangkap terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa serta 13 kanak-kanak dan mereka diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Kesemua mangsa terselamat dan mereka diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian. Anggota polis dan bomba yang tiba di tempat kejadian 6.30 petang tidak dapat memasuki ke tempat kejadian kerana arus deras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, semua mangsa dibawa ke Masjid Merbau Menyusut Sungai Tong pada 8.40 malam oleh polis, bomba serta orang awam untuk proses dokumentasi serta didapati tiada mangsa yang hilang atau lemas.

Sementara itu, seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Ridzuan, 36, berkata, hujan lebat mulai turun pukul 4 petang dan hanya berhenti sejam kemudian sebelum air sungai tiba-tiba menjadi deras dan keruh.

Katanya, dalam masa lima minit selepas itu fenomena kepala air melanda tempat tersebut sehingga air sungai melimpah ke kawasan letak kenderaan dan menghanyutkan dua buah kenderaan.

“Sebelum kejadian mencemaskan itu, saya sempat membawa naik anak-anak dan ahli keluarga lain yang sedang mandi sebelum kepala air tiba-tiba datang dari atas bukit. Saya tengok suasana di bawah sudah kecoh selain ada lapan orang tidak sempat naik dan bertarung nyawa dalam keadaan kepala air sedang deras sebelum diselamatkan.

“Dua orang termasuk saya menyambung tali untuk membantu mangsa menyeberang ke tebing dan kami melihat dua daripada enam buah kereta yang berada di kawasan itu telah hanyut,” katanya.

Ridzuan yang juga seorang peniaga memberitahu, kejadian itu menyebabkan jalan keluar masuk ke Lata Ulu Kasar ditutup sekali gus menyukarkan usaha pihak berkuasa datang membantu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya