30,000 murid jadi duta kecil kitar semula botol kaca

30,000 murid jadi duta kecil kitar semula botol kaca

MISWAN YUNUS (tiga dari kiri) memasukkan botol kaca ke dalam tong sebagai gimik pelancaran Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca di Bangunan JOTIC, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 30,000 murid sekolah daripada 30 buah sekolah di negeri ini akan menjadi duta kecil menerusi Pertandingan Jom Kitar Semula Botol Kaca anjuran SWM Environment Sdn. Bhd.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda tentang kitar semula botol kaca.

Menurutnya, walaupun program kitar semula semakin mendapat sokongan dalam masyarakat, namun ia tertumpu terhadap sisa plastik dan kertas.

“Setiap tahun, masyarakat Malaysia menggunakan lebih  200,000 tan botol kaca untuk pelbagai kegunaan harian, dan majoriti daripada sisa berkenaan akan terbuang begitu sahaja.

“Di Johor, kita telah mengutip sebanyak 41 tan sisa botol kaca pada tahun 2021, manakala bagi tahun ini, kita telah mengutip sebanyak 31 tan sisa botol kaca setakat Ogos lalu dan jumlah berkenaan masih kecil berbanding jumlah botol kaca yang dibuang.

“Jadi, menerusi program ini, kita mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda untuk mengitar semula botol kaca demi kesejahteraan alam sekitar,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran program berkenaan, di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Miswan Yunus dan turut dihadiri Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Dr. Mohd. Munir Baharom.

Norlisam memberitahu, pihaknya menyasarkan kutipan botol kaca sebanyak 10 tan daripada pelaksanaan program selama lima bulan bermula bulan ini dengan menyediakan hadiah terkumpul berjumlah RM23,000.

“Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu pengumpulan botol kaca, sudut kitar semula botol kaca dan juga reka cipta poster bertujuan meningkatkan pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang manfaat kitar semula botol kaca,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Munir memberitahu, sebanyak 30 buah sekolah rendah telah dipilih untuk menyertai program perintis berkenaan namun pihaknya berhasrat untuk memperluaskan pelaksanaannya pada masa depan.

“Di Johor, kita mempunyai 1,187 buah sekolah, namun pada peringkat permulaan ini kita libatkan hanya 30 buah sekolah dahulu dari seluruh negeri. Harapan kita untuk meningkatkan jumlah penyertaan sekolah pada masa depan,” jelasnya.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya