30,000 Jalur Gemilang dipasang di Felda Kerteh 6

30,000 Jalur Gemilang dipasang di Felda Kerteh 6

SALAH sebuah rumah penduduk yang dihiasi Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 di Felda Kerteh 6, Dungun, Terengganu, hari ini. - FOTO/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Sebanyak 30,000 Jalur Gemilang dipasang menghiasi kawasan Felda Kerteh 6, dekat sini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 dan Hari Malaysia 2022, esok.

Pengurus Felda Kerteh 6, Ramli Ibrahim berkata, penduduk bergotong-royong menghiasi 400 kediaman, pintu gerbang serta setiap sudut kawasan felda tersebut bagi menyemarakkan lagi sambutan tersebut.

Menurutnya, pihaknya juga mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan pertandingan menghias Jalur Gemilang dalam beberapa kategori antaranya rumah contoh, papan tanda terbaik serta hiasan bendera tercantik.

“Selain meningkatkan imej Felda Kerteh 6, program ini juga diharapkan dapat meningkatkan semangat kebangsaan dalam kalangan penduduk serta mengeratkan lagi hubungan antara warga felda,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ramli berkata, lebih menarik, kebanyakan golongan yang terlibat bertungkus lumus bergotong-royong  menjayakan pertandingan itu adalah terdiri daripada kalangan suri rumah yang berusia antara 50 hingga 74 tahun. 

Salah seorang penduduk, Rakiah Awang Mat, 65, berkata, sejak Julai lalu, dia dan 10 orang suri rumah lain bersama-sama menyiapkan sebuah taman dengan replika rumah generasi pertama Felda bagi mengimbau kembali kenangan mereka ketika berhijrah ke Felda tersebut. 

“Replika rumah Felda dan taman ini kami hasilkan menggunakan barang-barang terbuang seperti kayu, botol, besi serta getah. 

“Setiap hari, kami akan turun dari rumah sekitar pukul 8 pagi untuk bergotong-royong menyiapkan replika ini dan pulang ke rumah masing-masing 12 tengah hari untuk kembali meneruskan tugas di rumah,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Semek Embong, 64, berkata, mereka bersama-sama mengumpul duit membeli Jalur Gemilang untuk menghias kawasan Felda tersebut. 

“Lepas sambutan Hari Raya Aidiladha, kami kumpul duit dan beli lebih awal lebih 200 helai Jalur Gemilang untuk persediaan kerana bimbang kalau beli saat akhir, Jalur Gemilang di kedai-kedai akan kehabisan.” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya