3 penunggang motosikal cedera langgar SUV di lorong kecemasan

Tiga penunggang motosikal cedera langgar SUV berhenti di lorong kecemasan

TANGKAP layar video tular sekumpulan penunggang motosikal memarahi pemandu SUV yang menggunakan lorong kecemasan di di Kilometer 370, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara dekat Sungkai kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Tindakan sebuah kereta berhenti di lorong kecemasan telah mengakibatkan kemalangan membabitkan tiga motosikal dalam kejadian di Kilometer 370, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Sungkai kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan sekumpulan penunggang lain berang dan memarahi pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX-5 hingga insiden tersebut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, laporan berkaitan kemalangan tersebut diterima semalam di mana SUV itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh.

Katanya, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan berusia 34 tahun itu berhenti di lorong kecemasan kerana isterinya yang hamil mahu termuntah.

“Ketika pemandu SUV itu mahu bergerak semula, sebuah kereta Toyota Alphard secara tiba-tiba memasuki lorong kecemasan. Tindakan itu menyebabkan lelaki berkenaan terkejut lalu brek secara mengejut.

“Pada masa sama, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang berada di lorong sama sempat membrek namun dilanggar oleh sebuah motosikal Honda RS150R yang turut melanggar belakang SUV.

“Sebuah Benelli RFS150 dari arah belakang pula tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal Honda,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, kesemua penunggang motosikal cedera ringan manakala kenderaan terlibat mengalami kerosakan kecil.

“Akibat daripada pelanggaran itu juga, penunggang motosikal berasa berang dan memarahi pemandu SUV yang menggunakan lorong kecemasan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan video kejadian itu hingga menimbulkan sebarang spekulasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya