27 peratus kawasan terima liputan 5G

27 peratus kawasan terima liputan 5G

ISMAIL Sabri Yaakob bergambar bersama penerima alat peranti  sewaktu Majlis Pelancaran Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Cancelor UITM, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Liputan internet berkelajuan tinggi 5G mencapai 27 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara apabila 1,648 atau 41.2 peratus daripada 4,000 tapak siap dibangunkan.

Malah, jumlah langganan terhadap capaian tersebut sudah mencecah 250,000 pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia menduduki tangga pertama di dunia bagi kelajuan muat naik 5G iaitu 50.3 megabit sesaat (Mbps) dan kedua bagi kelajuan muat turun iaitu 382.2 Mbps berdasarkan laporan OpenSignal pada 22 Jun lalu.

Beliau berkata, melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2 (2023-2025) pula, kerajaan terus meluaskan akses perkhidmatan gentian optik kepada sembilan juta premis di seluruh negara.

“(Akses tersebut) meningkatkan kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih kepada 100Mbps melalui pelaksanaan 5G dan meluaskan liputan jalur lebar mudah alih kepada 100 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara.

“Kemajuan teknologi masa kini yang pesat telah meningkatkan penggunaan peranti media dalam setiap aspek khususnya bidang pendidikan, yang menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih lancar, sistematik dan berkesan,” katanya ketika berucap dalam perasmian Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 523 mahasiswa dalam kumpulan keluarga B40 daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) menerima peranti berupa tablet jenis Samsung Galaxy.

Pemberian peranti itu adalah sejajar dengan peruntukan sebanyak RM450 juta menerusi Belanjawan 2022 pada tahun lalu bagi memastikan proses pengajian belajar B40 terus terpelihara.

Ismail Sabri berkata, sehingga suku pertama tahun 2022, liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk mencapai 95.7 peratus daripada sasaran Jendela Fasa Satu (2020- 2022) iaitu 96.9 peratus.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan pemberian terus peranti tersebut kepada semua mahasiswa tanpa mengambil kira keputusan peperiksaan mereka serta tidak perlu mengembalikan semula selepas tamat pengajian.

“Pemberian peranti ini adalah sebagai penghargaan dan diharapkan menjadi pemangkin bagi penerima PerantiSiswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“Selain itu, dalam usaha memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN