PETALING JAYA: Penyanyi, Liza Hanim tidak dapat menyembunyikan rasa sebak dan terharu apabila dapat menggenggam trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) selepas penantian 25 tahun.
Liza yang mengungguli kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama Shila Amzah berkata, perjuangannya selama suku abad dalam industri seni suara akhirnya berbaloi.
“Rasa macam mimpi. Saya datang AIM23 ini lebih kepada membuat persembahan. Menang atau tidak, tolak tepi. Tetapi, rezeki itu Allah yang tentukan.
“Ini kali pertama saya genggam trofi AIM. Selepas pandemik pula itu, 25 tahun kau tunggu trofi ini Liza,” ujarnya.
Liza dan Shila turut merangkul anugerah Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia ciptaan Aliff Iskandar dan Que Afiq.
Penyanyi Andainya Ku Bersuara itu juga menggegarkan pentas anugerah berprestij itu dengan persembahan rangkaian lagu popularnya duet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Dalam pada itu, Liza berkata, kemenangan itu membuat dia terimbau kenangan ketika mula-mula melangkah ke dalam industri muzik.
“Bila menang, saya macam flashback balik. Ketika anak dara, masuk ke dalam industri seni berbekalkan bakat semata-mata.
“Lagu ini akhirnya menebus dahaga saya untuk AIM. Insya-Allah, saya lebih semangat dan kuat selepas kemenangan ini,” katanya.