23 tahun ‘derita’ guna jalan tak berturap - Utusan Malaysia

23 tahun ‘derita’ guna jalan tak berturap

ZAKARIA Mamat (kanan) bersama penduduk menunjukkan laluan yang masih belum berturap di Kampung Sipol, Chetok Pasir Mas, Kelantan. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Lebih 100 penduduk di tiga buah kampung iaitu Kampung Sipol, Kampung Chat dan Kampung Perol di sini mendakwa berdepan kepayahan apabila terpaksa menggunakan jalan tidak berturap sejak 23 tahun lalu.

Lebih menggusarkan penduduk, laluan alternatif sejauh satu kilometer itu turut digunakan oleh murid untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kepas yang dibimbangi boleh mengundang bahaya sekiranya tidak berhati-hati semasa melalui jalan tersebut.

Wakil penduduk, Zakaria Mamat, 62, situasi itu bertambah teruk sejak dua bulan lalu susulan hujan setiap petang yang menyebabkan permukaan jalan menjadi becak dan ditakungi air.

Menurutnya, situasi itu membuatkan penduduk sukar mengelak lopak tersebut yang boleh mengundang bahaya jika tidak berhati-hati.

“Aduan kepada penghulu sudah dibuat beberapa kali, apabila kami bersuara (aduan) mereka akan datang melakukan kerja-kerja meletakkan batu.

“Sampai bila perlu melakukan perkara yang sama, jadi saya mohon kepada wakil rakyat supaya dapat menurap laluan ini de­ngan kadar segera bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Nazri Jusoh, 62, memberitahu, dia berharap kerja-kerja menurap dapat dilakukan dengan secepat mungkin.

Katanya, penduduk di kawasan tersebut sudah tidak sanggup lagi untuk berdepan bahaya menggunakan laluan itu ter­utama pada waktu malam kerana sukar mengagak ke dalam lopak terutama waktu hujan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah ketika dihubungi memaklumkan masalah tersebut sudah berada dalam pengetahuan pihaknya.

“Untuk makluman kita sedang selesaikan beberapa perkara berkait dengan jalan tersebut. Apabila semuanya selesai nanti, kita usulkan perkara tersebut kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk kerja-kerja penurapan.

“Sebagai langkah awal kita telah meletakkan batu di laluan tersebut bagi memberikan keselesaan kepada penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya