22 kawasan rekreasi di Terengganu berisiko dilanda kepala air

22 kawasan rekreasi di Terengganu berisiko dilanda kepala air

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 22 kawasan rekreasi dan ekopelancongan di negeri ini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi dilanda fenomena kepala air.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Md. Hilman Abd. Rashid, lokasi berkenaan adalah kawasan air terjun dan sungai yang sering menjadi tumpuan pelancong.

Menurutnya, antara lokasi ‘hotspot’ berisiko berlaku kepala air ialah Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Puteh dan Sungai Cherul di Kemaman.

Katanya, kawasan lain ialah Sungai Loh, Sungai Kelemin, Air Terjun Langsir, Chemerong dan Lubuk Kain di Dungun, selain Air Terjun Sekayu, Juwita, Soak, Lasir dan Belukar Bukit di Hulu Terengganu.

Tambahnya, di Setiu pula melibatkan kawasan di Lata Ulu Kasar, Lata Ulu Kekabu, Lat Chakah serta Lata Payung manakala di Besut pula Air Terjun Lata Tembakah, Lata Belantan, Kolam Air Panas La Hot Spring dan Lata Kolam Air Deru Ecopark.

“Saya harap pengunjung terutama dalam tempoh cuti persekolahan ini lebih peka dan berhati-hati dengan perkembangan cuaca yang tidak menentu serta mengutamakan keselamatan.

“Penilaian risiko perlu dibuat sebelum berkunjung ke tempat rekreasi. Jika lihat cuaca sudah gelap atau hujan lebat, baik batalkan dahulu hasrat untuk bermandi-manda,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Md. Hilman berkata, pengunjung perlu mengambil tanggungjawab bersama memastikan keselamatan diri bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Apa yang paling mustahak, selamatkan nyawa terlebih dahulu jika berlaku kejadian kepala air sebelum sibuk menyelamatkan harta benda termasuk kenderaan,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, seramai 32 pengunjung di Lata Payung, Ulu Kasar, Sungai Tong di sini berdepan detik cemas apabila mereka terperangkap dalam kejadian kepala air selepas hujan lebat.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, tiada mangsa yang hanyut dan lemas selepas kebanyakan pengunjung yang sedang mandi di sungai dan berehat di kawasan rekreasi itu sempat menyelamat diri di bukit berdekatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN