KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Surat Sokongan kerajaan berhubung pinjaman AS$1 bilion kepada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dikeluarkan tanpa melalui proses usaha wajar atau ‘due diligence’.
Arahan untuk mengeluarkan surat tersebut telah dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan ketika itu.
Saksi pendakwaan ke-26 itu bagaimanapun tidak pasti sama ada Surat Sokongan itu telah dibentangkan di Parlimen atau tidak.
Dalam penyata saksinya sebelum ini, Siti Zauyah berkata, mengikut prosedur, LOS tidak akan diberikan kepada syarikat MKD yang tidak menjana sebarang pendapatan dan biasanya Kementerian Kewangan akan membuat penilaian sama ada sesebuah syarikat MKD perlu diberikan sokongan dalam bentuk LOS atau tidak.
Menurut saksi itu, dalam kes berhubung pinjaman RM1 bilion ini. MKD tiada sebarang maklumat untuk melaksanakan penilaian tetapi LOS diproses hanya berdasarkan arahan Najib selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan ketika itu.
Katanya, ia adalah satu situasi yang unik kerana 1MDB antara syarikat milik kerajaan yang tidak melalui proses penilaian.
Siti Zauyah yang pernah bertugas di Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan Dan Aktuari (BPKA) berkata demikian ketika disoal balas oleh salah seorang peguam bela Ahli Parlimen Pekan itu, Wan Aizuddin Wan Mohammed ketika disoal balas dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB.
Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Najib turut hadir pada prosiding hari ini walaupun beliau dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam. Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Pada peringkat awal prosiding, Wan Aizuddin dilihat ‘bengang’ dengan perilaku Siti Zauyah yang asyik menjawab ‘tidak tahu’, ‘tidak ingat’ atau mendiamkan diri.
Keadaan itu berlanjutkan sehingga tamat prosiding sehinggakan Rosmah yang berada di galeri awam didengar menjawab ‘tidak ingat’ sebelum saksi berkenaan memberikan jawapan sama.
Pada satu ketika, akibat diasak berulang kali, Siti Zauyah meninggikan suaranya lalu menjawab: “Saya tidak ingat! Perkara ini sudah 13 tahun!”
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan pihak pembelaan berhujah mengenai perilaku Siti Zauyah di akhir kes pendakwaan kelak.
Prosiding hari ini turut dihadiri Najib yang duduk di kandang tertuduh.
Kelmarin beliau dilaporkan dimasukkan ke sebuah hospital di ibu negara dan melalui kesemua pemeriksaan perubatan yang diperlukan.
Perbicaraan bersambung esok.