PUTRAJAYA: Sejumlah 151 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual melibatkan minyak masak secara atas talian dinyah turun sepanjang tahun ini sehingga kelmarin dalam usaha memastikan kegiatan penyelewengan minyak masak di wadah siber dipantau lebih berkesan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, usaha tersebut mendapat kerjasama daripada pihak penyedia laman tapak pasar domestik atas talian antaranya Shopee, Lazada, Mudah.my dan Grabmart.
Pada tempoh yang sama, sebanyak 55 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negara terhadap kegiatan penjualan produk itu yang diseleweng pihak tidak bertanggungjawab membabitkan sejumlah sembilan aduan dengan tiga tindakan sudah pun diambil.
“Kes yang terlibat disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana pelbagai kesalahan jualan minyak masak atas talian dengan nilai rampasannya RM1,564.90.
“Antara kesalahan dikesan ialah berurus niaga secara borong dan runcit tanpa lesen yang sah serta menyimpan minyak masak di tempat tidak dilesen oleh pihak kementerian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi agar sentiasa mematuhi segala perundangan dikuatkuasakan.
Pihak kementerian itu malahan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati terlibat dalam jenayah penyelewengan produk kawalan sedemikian dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pelaku terbabit juga boleh disiasat Akta Pencegahan dan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang mana mereka boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti salah tersebut sekiranya bersalah. – UTUSAN