KULAI: Kerajaan negeri mengenal pasti sebanyak 106 lokasi kerap berlaku banjir di semua 16 kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, lokasi yang dikenal pasti tersebut melibatkan kejadian banjir kilat dan banjir lambat surut.
Pihaknya juga telah menyediakan perancangan untuk mengatasi kejadian banjir secara berperingkat-peringkat, iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Daripada lebih 106 lokasi ‘hotspot’ banjir yang dikenal pasti, kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) adalah yang paling banyak.
“Ini mungkin kerana kawasan PBT itu merupakan satu kawasan lama dengan kepadatan yang tinggi, banyak kawasan perumahan lama dan juga banyak projek pembinaan baharu yang berskala besar.
“Kerajaan negeri telah berbincang dengan MBJB untuk melaksanakan kerja-kerja teknikal, namun ia melibatkan peruntukan yang besar. Jadi, pada masa ini langkah pencegahan jangka masa pendek telah diambil,” katanya selepas menyampaikan Geran Bantuan Kemasukan Ke Institusi Pengajian Tinggi 2022 di Taman Putri, di sini hari ini.
Daripada 106 lokasi berkenaan, sebanyak 36 lokasi terletak di kawasan pentadbiran MBJB, diikuti masing-masing sembilan lokasi di Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Perbandingan Kluang.
Mohd. Jafni berkata, pihaknya juga sedang mengkaji supaya projek-projek perumahan baharu tidak hanya melibatkan kawasan taman, sebaliknya perlu membabitkan saluran paip dan parit monsun untuk membuang lebihan air ke laut.
“Ini kerana kolam takungan sedia ada majoritinya sudah lama dan tidak diselenggara dan ditambah baik, ada yang sudah lebih 20 tahun usianya, jadi sudah lama.
“Jadi, selepas ini di peringkat PBT, kita perlu melihat kembali kebenaran diberi kepada projek baharu perlu turut lihat sambungan saliran ke sungai-sungai, itu juga perlu ditambah baik,” jelasnya. –UTUSAN