MELAKA: Seramai 100 peniaga Galeri Warisan di Banda Hilir di sini mengenakan busana tradisional era 60-an sempena sambutan Hari Malaysia semalam.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, peniaga, Maimunah Madlan, 48, berkata, para peniaga sepakat menyahut saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk mengenakan busana tradisional bagi mengimbau kembali nostalgia ketika pembentukan Malaysia pada 1963.
Menurutnya, lebih menggembirakan apabila sambutan tersebut diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak berhampiran dengan Galeri Warisan.
“Lokasi sambutan sangat dekat jadi mengapa kami para peniaga tidak turut sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia. Para peniaga seronok apabila kami mencadangkan perkara ini dan masing-masing pantas memberi idea busana yang mahu digayakan.
“Ada yang mahu berpakaian seperti hulubalang sementara wanita pula memilih untuk kelihatan anggun seperti mengenakan songket dan kebaya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Abd. Halim Hamzah, 48, berkata, inisiatif mengenakan busana tradisional tidak hanya pada Hari Malaysia sahaja, tetapi wajar dilakukan pada setiap masa demi menonjolkan seni, warisan, budaya dan jiwa bangsa.
Katanya, ia selari dengan jenis perniagaan yang ada di Galeri Warisan seperti cenderamata, replika senjata zaman dahulu, busana dan makanan tradisional.
“Di samping itu, kita dapat menonjolkan keindahan seni dan warisan bukan sahaja kepada bangsa sendiri, malah bukan Melayu juga. Secara tidak langsung mereka akan lebih menghargai dan melihat sendiri betapa indahnya pakaian orang Melayu suatu ketika dahulu,” katanya. – UTUSAN