100 mahasiswa santuni lebih 6,000 penduduk Sabah

100 mahasiswa santuni lebih 6,000 penduduk Sabah

Dr. Noraini Ahmad menyambut kepulangan mahasiswa Misi Sukarelawan Siswa YSS ke Sabah di Universiti Malaysia Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 100 mahasiswa daripada pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) menyantuni lebih 6,000 penduduk Sabah melalui Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ke negeri itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Misi Sukarelawan Siswa YSS itu berlangsung selama 10 hari bermula 1 September lalu, melibatkan enam lokasi di daerah Kudat, Tuaran dan Beluran, Sabah.

“Program itu merupakan misi pertama tempatan yang dijalankan YSS selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

“Sukarelawan yang terpilih terdiri daripada pelajar IPT, institut pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara itu berpeluang untuk berinteraksi serta tinggal bersama komuniti setempat,” katanya.

Seramai 6,478 penduduk kampung dan 1,505 murid-murid sekolah mendapat manfaat daripada 136 projek yang dilaksanakan sukarelawan siswa YSS.

Penduduk kampung yang terlibat dalam misi ini merangkumi penduduk Kg. Perpaduan (Banggi); Kg. Indarason Laut (Matunggong); Kg. Penimbawan; Kg. Berungis; Kg. Kabuluh (Paitan) dan Kg. Tanjung Nipis (Paitan).

Projek yang dijalankan adalah berlandaskan enam teras kesukarelawanan YSS iaitu pemerkasaan komuniti; penambahbaikan pendidikan dan pembangunan kapasiti; ketahanan terhadap impak perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar, kesihatan, transformasi digital serta mobilisasi impak sosial.

Enam teras tersebut selari dengan matlamat YSS untuk terus menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke arah mencapai Agenda 2030.

Antara projek-projek yang dilaksanakan adalah saringan kesihatan dan pergigian percuma; pembinaan projek laluan pejalan kaki sekolah; kelas tuisyen percuma berkonsepkan fun learning; kelas penguasaan teknologi komunikasi maklumat (ICT); bicara siswa; program pencegahan kebakaran dan pengurusan bencana; gotong-royong perdana; program silang budaya dan penanaman Tunjang Bakau.

Seorang sukarelawan, Muhammad Danial Mohamed Farook, 22, berkata, aspek utama yang diberi penekanan kumpulannya adalah memupuk murid-murid bermotivasi untuk terus belajar khususnya sehingga ke menara gading.

Muhammad Danial yang juga pelajar tahun tiga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam itu berkata, ini berikutan dapat dilihat murid-murid di sana tidak termotivasi untuk belajar dengan sebahagian besarnya masih belum mengetahui cita-cita mereka.

“Di sana, kami merancang beberapa aktiviti yang memberi penekanan dalam soal mata pelajaran matematik dan Bahasa Inggeris kerana keadaan kampung di sana yang sangat memerlukan penekanan dan sokongan dalam mata pelajaran itu.

“Namun, kami dapati sebenarnya mereka tidak termotivasi untuk belajar. Jadi sepanjang program kami buat beberapa modul dan pendekatan iaitu kem motivasi, kem pemantapan serta pelbagai aktiviti untuk buka mata mereka supaya lebih termotivasi.

“Kami juga memberi penekanan untuk menerapkan usaha mentor dalam kalangan mereka yang berpotensi sebab khuatir usaha kami ini terhenti tanpa sebarang sambungan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

MUHAMMAD DANIAL MOHAMED FAROOK

Jelas Muhammad Danial, misi yang dijalankan juga mengambil pendekatan menerapkan budaya masyarakat setempat.

“Di sana, kebanyakan budaya mereka sama ada tarian dan nyanyian mungkin tak akan jumpa di Semenanjung, jadi ia mengubah pendekatan kami yang lebih dekat dengan mereka.

“Kami terapkan aspek nyanyian dan tarian dalam program-program yang kami jalankan,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengharapkan misi sukarelawan siswa sebegini dapat dilaksanakan lagi serta diperluaskan ke kawasan lain di negeri itu.

“Guru-guru di sana sangat memerlukan usaha sebegini dalam memberi aspirasi kepada murid mereka untuk terus belajar.

“Ada sekolah muridnya perlu rentas sungai yang memakan masa sehingga 15 minit, jadi aspiras perlu supaya dapat suntik semangat untuk mereka sambung pelajar terutama ke menara gading,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan, Aidil Ashraf Amir Hamzah, 20, berkata, program yang disertainya itu memberi satu pengalaman berbeza terutama dalam membantu negeri yang kekurangan khususnya dalam kelengkapan kemudahan.

“Kumpulan kami terlibat dalam membuat laluan pejalan kaki sepanjang 80 meter dari pintu sekolah ke jeti. Jadi ia sangat memberikan kepuasan kepada sangat kerana dapat memanfaatkan murid-murid.

“Kalau sebelum ini mereka perlu melalui tanah berlumpur, tetapi apabila ada pejalan kaki itu yang dibina daripada simen, ia memang sangat memudahkan,” katanya.

AIDIL ASHRAF AMIR HAMZAH

Aidil Ashraf yang juga pelajar Diploma Kejuruteraan Pesawat, Politeknik Banting itu berkata, usaha YSS itu bukan sahaja membantu penduduk, malah dapat mendedahkan peserta dalam mengenali budaya negeri itu yang pelbagai.

“Banyak ilmu baru yang saya belajar di Sabah, kita dapat kenal budaya dan kaum mereka dengan lebih dekat lagi. Kita juga dapat belajar budaya baharu sesama sukarelawan siswa sebab lain kampung lain adat.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya