10 keluarga bimbang rumah diancam hakisan pantai

10 keluarga bimbang rumah diancam hakisan pantai

KEADAAN rumah penduduk yang diancam hakisan pantai di Kampung Cacar Lama, Paka, Dungun. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kira-kira 10 keluarga yang tinggal di pesisir pantai di Kampung Cacar Lama, Paka di sini, hidup dalam kebimbangan apabila rumah mereka diancam hakisan yang semakin meruncing.

Lebih buruk, hakisan pantai yang semakin kritikal sejak empat tahun lalu bukan sahaja menyebabkan kediaman penduduk rosak, malah beberapa buah rumah telah runtuh dan penghuni terpaksa berpindah di penempatan baharu.

Penduduk mendakwa, walaupun masalah hakisan tersebut dilaporkan beberapa kali kepada pihak berwajib, sehingga kini tiada tindakan segera diambil.

Seorang penduduk, Jusoh Othman, 64, berkata, kejadian hakisan bertambah buruk terutama setiap kali musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar.

“Setiap kali bulan November hingga awal Mac, memang kami tidur tak lena dan takut sebab bimbang rumah runtuh.

“Sekarang ini, kalau ikutkan rumah pak cik dah tak selamat nak duduk. Tapi, pak cik tak ada pilihan lain. Nak sewa rumah dan buat rumah baharu, memang tak mampu sebab pendapatan pun hanya cukup-cukup makan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Rosniza Mohamad, 40, berkata, walaupun sebahagian dapur rumahnya retak, dia dan keluarganya masih mengambil risiko dengan kekal tinggal di rumah tersebut berikutan tidak mampu menyewa rumah lain.

“Setiap kali musim tengkujuh dan ombak besar, saya bawa anak-anak menumpang berteduh di rumah saudara buat sementara. Bila keadaan dah reda, kami pulang semula ke rumah.

“Walaupun dah banyak kali benteng pasir dibina orang kampung, ia tidak berkesan sebab ombak lagi tinggi daripada benteng pasir yang dibina. Tahun ni, tak tahu bagaimana keadaan. Bimbang, kalau rumah kami roboh,” katanya.

Rosniza berharap kerajaan memandang serius isu hakisan tersebut dan membantu mereka mencari tempat tinggal baharu demi keselamatan penduduk.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kawasan pantai sepanjang 48.7 kilometer di negeri ini berisiko tenggelam ke laut berikutan masalah hakisan pantai yang serius terutama pada musim tengkujuh.

Hakisan itu dilihat semakin serius berlaku apabila menyebabkan kemusnahan rumah dan resort yang sekali gus turut mengubah landskap muka bumi Terengganu saban tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya