ALOR GAJAH: Seorang wanita hamil dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu urusan penjualan rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Tertuduh Farizirah Safarizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah memperdayakan seorang wanita untuk pembayaran pendahuluan pembelian sebuah rumah PR1MA Residensi A’ Famosa dan bayaran kos penyelenggaraan tidak wujud berjumlah RM6,350 ke dalam akaunnya.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Durian Terung, Air Pa’abas dalam daerah Alor Gajah pada 31 Januari hingga 28 Februari 2022.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut melakukan kesalahan sama terhadap seorang wanita yang mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM5,500 secara tunai.
Kesalahan dilakukan di kawasan pembinaan rumah PR1MA Residensi A’ Famosa dalam daerah Alor Gajah pada Disember 2021.
Bagi kedua-dua pertuduhan, sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan hamil serta menjaga ibunya yang menghidap kanser.
Setelah mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan tarikh 23 September depan sebagai sebutan semula kes. – UTUSAN