UUM universiti pertama sedia 100 sukarelawan ICT

UUM universiti pertama sedia 100 sukarelawan ICT

KU Abdul Rahman Ku Ismail (dua dari kanan) merasmikan Program Libatsama Komuniti IMBRe-Sukarelawan ICT Malaysia di UUM, Sintok di Kubang Pasu, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti awam pertama menggerakkan 100 sukarelawan bagi program di bawah Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) dalam usaha meningkatkan penggunaan teknologi  maklumat selaras era ekonomi digital. 

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, program IMBRe UUM Community Engagement (ICE) itu dianjurkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kelab Patriot Chapter Kedah UUM.

“Program ini bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat setempat. Sukarelawan dari Pusat Teknologi Maklumat (ICT) UUM akan memainkan peranan dalam membantu komuniti di 77 Pusat Ekonomi Digital (PeDI) di seluruh Kedah.

“Ia juga secara tidak langsung akan membantu sukarelawan meningkatkan komunikasi dua hala dengan pelbagai pihak terutama pada cuti semester dari Ogos hingga Oktober ini,” katanya semasa merasmikan Program Libatsama Komuniti IMBRe-Sukarelawan ICT Malaysia di UUM, hari ini.

Ku Abdul Rahman berkata, program itu juga selaras usaha Malaysia Digital menjadikan isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga untuk meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital.

Dalam pada itu, beliau berkata, program itu juga memberi pendedahan kepada pelajar UUM tentang kepentingan menjadi sukarelawan dan membantu meningkatkan tahap literasi digital masyarakat setempat supaya ICT dapat dimanfaatkan pada tahap optimum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN