KOTA KINABALU: Pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) membawa pulang lima perak dan tujuh gangsa pada pertandingan World Champions of Performing Arts (WCoPA) 2022 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini
UMS menerusi kenyataan media menyebut, pelajar seni tari, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Vanessa William menerusi Tarian Solo Kontemporari dan Terbuka kategori umur 18 hingga 24 tahun memenangi dua pingat Perak serta menyumbang dua pingat gangsa dalam acara Dance Lyrical dan Dance Folklore.
“Pelajar pascasiswazah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Quenner Mitchell Pauzi turut menyumbang dua perak dalam kategori muzik Instrument Original Works dan kategori Instrumental Terbuka serta dua gangsa menerusi kategori Kontemporari dan muzik Instrumental Jazz,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hasfizzah Ladin, menyumbang masing-masing satu pingat perak dan satu gangsa melalui acara Vocal World dan Vocal Variety kategori umur 25 hingga 29 tahun.
Dua pingat gangsa lagi diraih melalui acara tarian duet kategori Dance Open dan Dance Folklore umur 30 tahun ke atas yang diperolehi Kumpulan Ketari Sari yang diwakili Ketua Program Seni Kreatif ASTiF, Dr Sharip Zainal Sagkif Shek dan Artis Budaya Kanan UMS, Norain Abd Razak.
WCOPA 2022 berlangsung selama sembilan hari yang menyaksikan kira-kira 60 buah negara mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. –UTUSAN