‘UMNO amal politik khidmat, bukan khianat’ - Utusan Malaysia

‘UMNO amal politik khidmat, bukan khianat’

PUSAT Khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru yang dibakar individu tidak bertanggungjawab, kelmarin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar menegaskan bahawa parti itu mengamalkan budaya politik khidmat, bukannya khianat.

Sambil melahirkan perasaan kesal terhadap Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang mendakwa diugut oleh penyokong UMNO, beliau menggesa bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan itu turut mengamalkan pendekatan politik yang lebih progresif, selari dengan usia mudanya.

“Saya ingin zahir kekecewaan dan kekesalan terhadap dakwaan dan tuduhan Ahli Parlimen Johor Bahru yang mengaitkan individu menghantar mesej berbaur ugutan bunuh dengan kejadian kebakaran yang berlaku di pejabatnya kelmarin datang daripada penyokong UMNO dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Kami mengharap pendekatan politik lebih progresif dan proaktif daripada Ahli Parlimen Johor Bahru yang berusia muda ini, namun, permainan politik lama dan hina juga yang menjadi pilihannya.

“Politik UMNO adalah politik khidmat, bukan politik khianat. Politik kami politik matang dan baharu, menzahirkan idea serta polisi yang mapan, bukan politik murahan.

“Maka, jangan ambil kesempatan membuat tuduhan tidak berasas semata-mata untuk raih simpati dan populariti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kelmarin, Akmal membuat laporan polis bahawa dirinya menerima ugutan bunuh dan beberapa hari sebelumnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru di Jalan Idaman 3, Taman Larkin, di sini dibakar kelmarin.

Dakwa Akmal, individu yang memaki dan mengugutnya menerusi satu akaun media sosial tidak dikenali mengaku sebagai seorang penyokong UMNO dan juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, Yahya turut meminta Akmal untuk berhenti menuding jari terhadap UMNO atas perkara yang menimpa dirinya.

“Jadi, cukup-cukuplah menuding jari, Akmal. UMNO tetap dengan khidmat serta prihatin kami dalam mengemudi perjuangan rakyat. Namun, jika Akmal masih memilih untuk bermain dengan politik fitnah dan tuduh-menuduh, maka teruskan, biar rakyat membezakan yang hak dan yang batil, antara kaca dan permata,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yahya turut bersimpati dengan musibah yang menimpa Akmal sekiranya ugutan bunuh dan kebakaran pejabatnya adalah benar-benar merupakan perbuatan khianat.

“Semoga terus diberi kecekalan dan semangat kuat untuk berkhidmat. Berkenaan dengan kejadian kebakaran ini, saya meletakkan sepenuh pengharapan agar kes ini dapat disiasat dengan teliti dan setelus-telusnya oleh pihak berkuasa,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya