PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengadakan Siri Bengkel Pilihan Raya Malaysia bertujuan untuk memperkasa wartawan Malaysia dengan pengetahuan dan peralatan untuk pelaporan pilihan raya yang berkesan. Siri bengkel tersebut disokong oleh Google News Initiative.
Objektif latihan tersebut adalah untuk memperkenalkan peralatan kepada para wartawan yang dapat membantu penceritaan digital dan melibatkan khalayak di YouTube terutamanya dalam pelaporan pilihan raya. Bengkel ini dibahagikan kepada lima segmen iaitu arah aliran Google (Google trends), pengesahan, analisis data dan peta, penyiasatan iklan digital dan YouTube untuk pilihan raya.
Bengkel-bengkel tersebut akan dijalankan antara 20-26 Ogos 2022 dan terdiri daripada gabungan acara secara bersemuka di Doubletree Hilton KL pada 20 Ogos dan bengkel dalam talian untuk memperkasakan lebih ramai lagi wartawan di seluruh negara antara 22-26 Ogos.
Para wartawan dijemput untuk menyertai siri latihan tersebut untuk meningkatkan kemahiran diri dengan peralatan tersebut.
Mereka yang berminat boleh mendaftar untuk sesi-sesi pilihan di bit.ly/UKMxGNI22.
Barisan jurulatih profesional terkenal termasuk Felo Pengajar Newslab daripada Google, Trinna Leong; wartawan digital dan jurulatih DataN, Kuek Ser Kuang Keng; Pengurus Rakan Kongsi Strategik daripada pasukan Perkongsian Kandungan YouTube, Vincent Chang; pakar terkemuka dunia mengenai maklumat salah dalam talian dan penyiasatan digital daripada ProPublica, Craig Silverman.
“Tsunami maklumat telah menjadikan satu cabaran bagi rakyat Malaysia untuk membezakan antara maklumat fakta dan palsu. Ini juga merupakan isu yang dihadapi oleh para wartawan terutamanya dalam memastikan berita yang disebarkan adalah berwibawa dan disahkan. Oleh itu, bengkel ini merupakan satu inisiatif untuk menggalakkan liputan pilihan raya yang seimbang dan adil dalam kalangan wartawan Malaysia,” kata Profesor Madya Dr Sabariah Mohamed Salleh.
“Memperkasakan para wartawan dengan pengetahuan dan peralatan yang mereka perlukan berkaitan semakan fakta dan liputan pilihan raya yang berkesan adalah penting. Ini merupakan satu penghormatan untuk bekerjasama dengan UKM dan menyokong Siri Bengkel Pilihan Raya Malaysia mereka untuk pilihan raya negara akan datang,” kata Irene Jay Liu, Ketua APAC, Google News Lab.
Para peserta boleh mengharapkan bengkel yang menarik tentang semakan fakta dan penerbitan kandungan yang disahkan terutamanya berkenaan tinjauan pendapat, kempen politik, parti dan pihak berkepentingan.
Analisis data pilihan raya dengan cara yang sistematik untuk penceritaan yang berkesan, serta pemantauan carian web untuk mengenal pasti idea cerita adalah kemahiran penting yang akan diajar dalam bengkel tersebut. Para peserta juga akan didedahkan kepada pengenalan penaja iklan politik dan amalan terbaik untuk membuat liputan berita pilihan raya terutamanya di YouTube. – UTUSAN