UDA USHAniaga bantu peniaga

UDA USHAniaga bantu peniaga

ISMAIL Sabri Yaakob menyempurnakan gimik perasmian Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia disaksikan Noh Omar (kiri) dan Norliza Abdul Rahim (kanan) di Kuala Lumpur baru-baru ini. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan yang juga agensi di
bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), mewujudkan peluang perniagaan secara berterusan menerusi penganjuran Karnival UDA
USHAniaga Keluarga Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UDA sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan keluarga usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih.

“Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia ini merupakan antara inisiatif UDA bersama KUSKOP melahirkan lebih ramai lagi Keluarga Usahawan di Malaysia.

“Inisiatif itu juga diharap dapat merancakkan penglibatan orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan seperti pembabitan daripada golongan wanita
khususnya suri rumah serta generasi muda seperti siswazah.

“Akronim ‘USHA’ bermaksud ‘UDA Sempurnakan Hari Anda’ yang diterjemahkan sebagai jiwa dan falsafah karnival ini menjadi aspirasi UDA dalam menyediakan peluang dan platform untuk memperkasa serta memajukan usahawan dari pelbagai latar belakang.

“Sasaran penglibatan golongan wanita, belia serta graduan dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang seterusnya membuka
peluang pekerjaan dan merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya selepas pelancara Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia.

Karnival itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu Noh berkata, menerusi karnival tersebut, UDA mengorak langkah membantu usahawan untuk memperkasakan perniagaan mereka.

“Setelah Perdana Menteri meluluskan RM100 juta kepada UDA, Karnival UDA USHAniaga ini telah berjaya dilancarkan.

“Pendekatan UDA adalah berbeza kerana ia diberikan dalam bentuk geran dan bukan pinjaman untuk memberi peluang kepada usahawan mendapatkan premis
perniagaan.

“UDA juga akan terus memberi bimbingan kepada usahawan di bawahnya yang kini sudah mempunyai lebih 800 usahawan,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan zakat disalurkan UDA kepada empat usahawan asnaf di Kuala Lumpur.

UDA memperuntukkan RM100,000 sumbangan zakat untuk usahawan asnaf di seluruh negara sepanjang Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia.

Karnival yang berlangsung selama tiga bulan sehingga Oktober depan itu akan menjelajah ke lima lokasi di seluruh negara.

Lokasi pertama di Odeon Walk, di sini pada minggu lalu, Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (16-18 September), Serambi Teruntum Kuantan, Pahang (23-25 September), Angsana Ipoh Mall, Perak (30 September-2 Oktober) dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor (21-23 Oktober).

UDA menyasarkan penyertaan 100 usahawan di setiap lokasi dengan mengetengahkan usahawan meliputi pelbagai kategori perniagaan seperti makanan
dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, selain jenama terkemuka oleh usahawan selebriti.

Salah seorang usahawan di karnival itu, Azah Nur berkata, Mari Mart adalah usaha UDA dalam memperkasakan usaha usahawan tempatan dalam menjual produk
kepada orang tempatan.

“Mari Mart itu direalisasikan oleh UDA pada 2021 dengan pembukaan dua buah kedai di Angsana Ipoh dan Johor Bahru.

“Tujuan UDA membina Mari Mart adalah untuk menjadikannya sebagai pusat sehenti untuk produk makanan tempatan seperti biskut kelapa, semperit, rendang tok
dan banyak lagi.

“Kami mempunyai ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan produk-produk yang dijual ini tidak mudah didapati di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, usahawan Ewan Sanie Shamsudin pula berkata, Kirana adalah satu projek khusus yang dibangun oleh UDA sebagai satu inisiatif untuk memperkasakan
usahawan yang bergiat dalam pembuatan dan penghasilan barangan kraf di Malaysia.

“Kirana adalah satu kedai yang tidak lama lagi akan dibuka di Bukit Bintang City Centre. Di sini, kita akan menempatkan produk buatan kraf
daripada 13 negeri dalam negara.

“Kami memang memilih khas produk-produk yang dikeluarkan oleh para artisan untuk dipamerkan dan dijual di Kirana.

“Kami turut memberi peluang kepada produk-produk yang dihasilkan oleh pelbagai kaum di Malaysia seperti orang asli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya