Tutup Crackhouse: Datuk Bandar KL diberi masa 48 jam

Tutup Crackhouse: Datuk Bandar KL diberi masa 48 jam

KERATAN laporan Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah diberi tempoh 48 jam untuk menjelaskan pembatalan lesen perniagaan kelab komedi Crackhouse dan membuatkan pemilik-pemiliknya tidak dapat mendaftarkan perniagaan lain akibat disenarai hitamkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse, Ramkarpal Singh berkata, mereka akan memfailkan semakan kehakiman sekiranya tiada maklum balas daripada Mahadi.

“Kami belum menerima maklum balas pada masa ini dan anak guam saya,  tidak pernah menerima sebarang notis atau surat rasmi serta tiada kenyataan dari Mahadi setakat pengetahuan saya,” katanya ketika dihubungi.

Melalui surat tuntutan kepada Mahadi yang ditunjukkan kepada Utusan Malaysia,  peguam dari tetuan Karpal Singh and Co akan mengambil tindakan sekiranya perkara yang dilaporkan media massa mengenai pembatalan lesen dan pemilik-pemilik kelab komedi itu disenarai hitam selama-lamanya daripada mendaftar sebarang perniagaan.

“Sekiranya perkara-perkara seperti yang dilaporkan di media massa secara luas yang dinyatakan adalah benar, maka hak kehidupan anak guam-anak guam kami yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan terjejas dengan serius,” katanya.

Terdahulu, akhbar melaporkan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengesahkan pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di sekitar ibu negara.

Pada 13 Julai lalu, operasi Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) digantung sementara operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Sebelum ini, pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman.

Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Malah, teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama.

Melalui surat tersebut juga menyifatkan tindakan yang diambil oleh DBKL juga tidak munasabah dan rasional kerana pemilik-pemilik kelab komedi itu tidak pernah didapati bersalah atas apa-apa kesalahan yang mewajarkan tindakan itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya