KLANG: Sebuah kilang pemproses buangan kitar semula digantung operasi selama dua minggu oleh pihak berkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) selepas dikenalpasti gagal mematuhi piawaian teknikal perlesenan yang ditetapkan.
Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin berkata, kilang terbabit pernah diberi amaran pada awal tahun lalu atas kesalahan yang sama, namun pada pemeriksaan hari ini mereka masih memandang ringan syarat tersebut.
“Pada awal tahun ini, kami telah membuat pemeriksaan ke atas kilang ini dan mereka masih tak dapat patuhi syarat itu. Antara syarat teknikal yang mereka perlu patuhi seperti proses pembakaran (bahan), proses pencucian (bahan) yang ditetapkan pihak berkuasa dan lain-lain lagi.
“Justeru itu, kami minta mereka tutup kilang selama dua minggu bagi mereka untuk penuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya ketika membuat Operasi Khas MPK (J Force) ke atas kilang tersebut di Jalan Telok Gong, hari ini.
Menurutnya, kilang yang dipercayai beroperasi lebih 20 tahun itu pada mulanya memohon lesen untuk memiliki gudang, bagaimanapun mereka tidak mempunyai lesen bagi menjalankan aktiviti lain seperti kerja-kerja pelupusan dan pembungkusan.
Tambah Elya, sekiranya masih gagal, MPK akan mempertimbangkan untuk menutup terus premis berkenaan.
“Kami tidak mengeluarkan kompaun kepada mereka pada kali ini. Cuma sebelum ini, kami pernah keluarkan kompaun kepada kilang itu atas kesalahan gagal menjaga kebersihan kawasan kilang,” tegasnya. –UTUSAN