Tujuh tahun Rayani Air belum langsai bayaran tiket pelanggan - Utusan Malaysia

Tujuh tahun Rayani Air belum langsai bayaran tiket pelanggan

GAMBAR fail ketika pesawat Rayani Air mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu, Sabah pada 2016.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah tujuh tahun sejak syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air, digantung operasinya akibat pelbagai masalah, syarikat itu didakwa masih belum melangsaikan pemulangan semula bayaran tiket pelanggannya.

Sebelum ini, dilaporkan sejumlah RM173,162.60 tuntutan pembelian tiket keseluruhan untuk lebih 500 pembeli perlu dibayar semula oleh syarikat penerbangan komersial itu.

Pelanggan-pelanggan yang masih belum menerima bayaran semula tiket belum sempat menggunakan perkhidmatannya, sehinggalah Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air pada Jun 2016.

Ekoran itu, beberapa pelanggan kerugian antara ratusan hingga ribuan ringgit kerana penerbangan dibatalkan, manakala bayaran semula tiket tidak dipulangkan hingga sekarang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pelanggan, Mohd. Tahir Abdullah, 40, berkata, dia kerugian hampir RM2,000 untuk pembelian tiket lima ahli keluarganya bagi destinasi dari Kota Kinabalu, Sabah ke Kuala Lumpur.

“Saya terpaksa membeli tiket baharu menggunakan syarikat penerbangan lain dan sekarang Rayani Air tidak pulangkan wang saya. Saya sudah berurusan ke kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan e-mel Rayani Air, tapi tiada perkembangan.

“Mereka minta perincian tiket kapal terbang dan akaun bank, selepas itu saya diarah untuk tunggu giliran wang dikembalikan, tapi, sampai sekarang tidak lagi dibayar,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Saiful Fadzli Ahmad Foat, 41, pula berkata, dia masih belum menerima pemulangan bayaran tiket berharga RM440 untuk tiga keluarganya ketika merancang ke Kuala Lumpur dari Kuching, Sarawak sekitar Disember 2015.

Katanya, dia sudah membuat proses tuntutan dua kali melalui e-mel kepada pihak pengurusan Rayani Air, namun tiada maklum balas diterima sehinggalah harapan kian pudar.

“Mereka terus senyap. Saya harap Rayani Air tidak terus bermain tarik tali, lebih serius dan telus untuk pulangkan duit saya. Saya tunggu duit dipulangkan sejak saya bujang sehinggalah mempunyai empat anak, tapi duit belum ada lagi,” katanya yang sudah membeli tiket itu empat bulan lebih awal.

Rayani Air diasaskan oleh ahli perniagaan tempatan, Ravi Alagendrran Abdullah dan isterinya, Datuk Karthiyani Govindan yang memulakan operasi pada Disember 2015.

Bermula 9 April 2016, syarikat itu menghentikan semua operasinya sehinggalah Mavcom menarik lesen perkhidmatan penerbangan kerana melanggar syarat-syarat lesen, selain tidak mempunyai kemampuan kewangan dan pengurusan untuk terus beroperasi sebagai penerbangan komersial.

Sebelum ini, Rayani Air dilaporkan akan memulangkan bayaran tiket kapal terbang pelanggan secara berperingkat, bagaimanapun, maklumat bayaran terkini yang sudah diselesaikan kepada pelanggan masih belum diketahui.

Sementara itu, Nur’rasyidin Mohamad Amon, 38, berkata, Rayani Air tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan di media sosial memaklumkan akan memulangkan bayaran tiket pelanggan namun tidak berlaku seperti yang dijangka.

Katanya, kos keseluruhan tiket terpaksa ditanggung adalah kurang dari RM1,000 untuk empat orang untuk penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuching.

“Jangan sebut sahaja, ini harapan kepada pelanggan mengharap duit itu ada. Ini keluar lagi di Facebook. Kasihan pelanggan yang benar-benar perlukan wang ini tapi tidak dipulangkan. Kalau tidak boleh pulangkan wang sekali gus, beritahu bila tempohnya, tapi ini senyap sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN