JASIN: Kerajaan negeri menyelesaikan sebanyak 5,075 aduan rakyat yang diterima daripada pelbagai sumber sejak 1 Januari hingga 31 Julai 2022.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 5,627 aduan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini dan lebih 90 peratus daripadanya telah diselesaikan.
Menurut beliau, baki 552 aduan yang belum diselesaikan masih dalam tindakan agensi-agensi berkaitan.
“Justeru, hari bertemu pelanggan ini merupakan platform kepada orang ramai untuk berkomunikasi dan berinteraksi secara bersemuka bersama penyelaras aduan Jabatan Ketua Menteri Melaka.
“Terdapat 12 jabatan dan agensi yang terlibat iaitu Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Majlis Perbandaran Jasin, Syarikat Air Melaka Berhad, Lembaga Perumahan Melaka, Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka dan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Terdapat juga pemeriksaan kesihatan percuma, saringan kesihatan asas, Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), promosi derma organ serta perkhidmatan asas pergigian,” katanya dalam sidang akhbar Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ di sini hari ini.
Tambah Sulaiman, kerajaan negeri memberi fokus kepada empat objektif utama menerusi program tersebut dalam usaha menambah-baik pengurusan aduan.
Katanya, fokus pertama adalah meningkatkan keupayaan, kecekapan dan keberkesanan pengurusan aduan dengan lebih efektif.
“Kedua mematuhi standard pengurusan aduan ditetapkan berdasarkan amalan terbaik. Ketiga untuk menambah baik pendekatan dalam memperoleh dan memahami isu-isu yang dihadapi rakyat.
“Fokus keempat adalah menggunakan maklumat aduan awam untuk menjana inovasi dalam menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan,” ujarnya. – UTUSAN
HABIS///