CAMERON HIGHLANDS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited menyegerakan agenda kelestarian peralihan kapasiti elektrik tenaga boleh baharu (TBB) pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ketua Pegawai Operasi TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco), Datuk Ir. Roslan Abd. Rahman berkata, inisiatif itu termasuk memperinci langkah penamatan lebih awal perkhidmatan loji arang batu terpilih dan memperkasa loji janakuasa dengan teknologi hijau.
Katanya, TNB juga bekerjasama dengan syarikat teknologi berprestasi tinggi sebagai inisiatif serta komitmen kepada kepentingan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“TNB mempercepat pelan penyahkarbonnya ke arah mencapai sasaran pengurangan 35 peratus pelepasan karbon dan pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035 dalam usaha menangani impak perubahan iklim.
“Dalam aspek penamatan lebih awal loji arang batu, Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Kapar Energy Venture dicadang sebagai perintis penggunaan hidrogen menjelang 2029,” katanya kepada pemberita sempena lawatan media ke Stesen-Stesen Janakuasa Cameron Highlands (SSJCH) di sini semalam. – UTUSAN