Tinggalkan isyarat 'bye' sebelum ditemukan mati dengan kesan kelar

Tinggalkan isyarat ‘bye’ sebelum ditemukan mati dengan kesan kelar

ANGGOTA polis membuat pemeriksaan di lokasi seorang lelaki yang ditemukan mati dengan kesan kelar pada leher di belakang sebuah kilang di Pekeliling Dataran Kledang, Menglembu di Ipoh, Perak, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki yang mengalami kemurungan sempat meninggalkan pesanan kepada isterinya sebelum dia ditemukan mati dengan kesan kelar di leher di belakang sebuah kilang di Pekeliling Dataran Kledang, Menglembu, di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, maklumat berkaitan kes itu dimaklumkan orang awam pada pukul 9.46 pagi.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat mayat seorang lelaki dengan kesan kelar di leher sepanjang 16 sentimeter.

“Turut dijumpai berhampiran mayat si mati ialah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Pemeriksaan mendapati, tiada kesan jenayah lain pada badan si mati. Telefon bimbit dan pengenalan diri lelaki itu juga masih berada bersamanya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit yang merupakan pemborong dan pembekal ikan ke pasar itu ada menghubungi isterinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, menerusi pesanan tersebut, dia memberitahu isterinya untuk mengambil semua wang simpanan di dalam bank bagi kegunaan wanita itu dan anak-anak mereka selain meninggalkan isyarat ‘bye’.

“Berdasarkan maklumat, si mati mengalami kemurungan kerana perniagaan yang diusahakannya sejak 10 tahun lalu itu mempunyai masalah kewangan.

“Si mati juga difahamkan pernah cuba membunuh diri tiga tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan pakar patalogi ke atas mayat lelaki itu mendapati punca kematian adalah disebabkan si mati mengelar lehernya menggunakan pisau pemotong daging.

“Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan punca sebenar kematian lelaki itu. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya