Tiga dicekup tangkap ikan guna pukat 'tarik tepi'

Tiga dicekup tangkap ikan guna pukat ‘tarik tepi’

PASUKAN Maritim Malaysia Selangor memeriksa sebuah bot yang membawa tiga lelaki selepas disyaki menangkap ikan menggunakan pukat tarik tepi kira-kira 3.2 batu nautika perairan Jeram di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kegiatan haram tiga lelaki menangkap 50 kilogram (kg) ikan dengan pukat ‘tarik tepi’ tumpas apabila dicekup pihak berkuasa kira-kira 3.2 batu nautika perairan Jeram di sini, semalam.

Kesemua tekong dan kru tempatan berusia 35 hingga 38 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menaiki sebuah bot nelayan, kira-kira pukul 9.30 malam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, perkara itu dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang sebelum mengarahkan pasukan peronda ke lokasi berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan itu dinaiki tiga lelaki yang sedang menangkap ikan dengan pukat tarik tepi.

“APMM turut merampas hasil tangkapan pelbagai jenis ikan seberat 50kg untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Siva Kumar, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menangkap ikan kurang dari jarak yang dibenarkan,” katanya.

Tegas beliau, APMM memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang melakukan aktiviti jenayah di perairan negara. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim dan  kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera,” jelasnya.-UTUSAN

 

HABIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya