Tiga bekas MB Terengganu UMNO kekal tanding PRU15

Tiga bekas MB Terengganu UMNO kekal tanding PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANALISIS

KUALA TERENGGANU: Tiga bekas Menteri Besar Terengganu daripada UMNO dijangka kekal bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Besar itu ialah Datuk Seri Idris Jusoh yang menyandang jawatan tersebut pada 2004 hingga 2008,  Datuk Seri Ahmad Said (2008 hingga 2014) dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman (2014 hingga 2018).

Penampilan semula ketiga-tiga pemimpin UMNO berpengalaman itu bakal menjadi tumpuan dalam PRU15.

Pada masa ini, Idris yang juga Pengerusi Felda adalah Ahli Parlimen Besut, Ahmad pula yang dilantik sebagai Pengerusi UMNO Terengganu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijai manakala Ahmad Razif pula ADUN Seberang Takir.

Difahamkan, mereka bakal bertanding mempertahan kerusi masing-masing.

Ahmad Razif sebelum ini dikata akan mengosongkan kerusi DUN Seberang Takir untuk bertanding di Parlimen Kuala Nerus.

Namun, beliau awal-awal lagi menafikan akan melepaskan kerusi DUN Seberang Takir itu.

Dalam pada itu, ketiga-tiga pemimpin itu dijangka berdepan cabaran lebih sengit pada PRU15 kerana bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara UMNO, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Persaingan empat penjuru itu akan berlaku selepas UMNO Terengganu mengumumkan mahu bertanding secara solo di semua kerusi pada PRU15.

Sebelum ini, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat memberitahu, UMNO akan meletakkan calon bertanding secara solo di 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) serta lapan kerusi Parlimen.

Sementara itu, terdapat dakwaan menyatakan Ahmad dan Ahmad Razif masih ‘bernafsu’ untuk menyandang jawatan Menteri Besar Terengganu buat kali kedua sekiranya BN menawan semula negeri itu pada PRU15.

Berdasarkan sokongan ke atas kedua-dua ADUN itu didapati mereka mampu mempertahan kerusi masing-masing.

Untuk rekod, dalam PRU14, Idris memenangi Parlimen Besut selepas mendapat 34,335 undi menewaskan calon Pas, Riduan Mohamad Nor (29,736 undi) serta calon PKR, Datuk Dr. Wan Nazari Wan Jusoh (6,864).

Ahmad Said pula berjaya menawan DUN Kijai setelah memperoleh 9,545 undi  mengetepikan calon Pas, Hazri Jusoh (8,280 undi) dan calon PKR, Datuk Seri Wan Marzuki Wan Sembok (1,472 undi).

Dalam pada itu, Ahmad Razif mencapai kemenangan di DUN Seberang Takir selepas mendapat 9,340 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Fazil Wahab (7,456 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lt. Kol. (B) Abu Bakar Abdullah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya