PETALING JAYA: Sebuah syarikat penghantar makanan mengembalikan ganjaran upah kepada penghantar makanan selepas tular satu kempen yang digerakkan kumpulan tersebut untuk melancarkan mogok 24 jam bermula malam tadi hingga tengah malam ini.
Melalui notis tersebut, syarikat penghantar makanan itu memberikan bonus tambahan untuk penghantar makanan yang bekerja pada tarikh ditetapkan.
“Flexi bonus Kembali lagi! Peluang terakhir anda (penghantar makanan) untuk dapatkan bonus tambahan pada minggu ini dengan bekerja pada 5 Ogos (Hari ini), 6 Ogos (Sabtu) dan 7 Ogos (Ahad).
“Sekiranya anda (penghantar makanan) bekerja di zon-zon berikut pada waktu peak hour (waktu kemuncak) di zon-zon berikut),” tulis pengumuman tersebut.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, kumpulan penghantar makanan bagi beberapa syarikat penghantaran bercadang melancarkan mogok 24 jam bermula tengah malam tadi.
Melalui pemerhatian Utusan Malaysia di media sosial, beberapa penghantar makanan menyatakan bahawa ganjaran bonus daripada syarikat berjaya menghentikan niat mereka untuk turut serta dalam kempen mogok itu.
“Mogok? Silakan, peluang aku nak cari rezeki. Waktu solat Jumaat kita tutup sekejap, lepas solat kita cedok (bekerja semula),” tulis seorang individu melalui hantaran di Facebook.
“Mogok apanya? Tengok jadual esok (hari ini) laku keras. Siapa yang amik? Jadual licin macam pisang goreng,” tulis individu lain.- UTUSAN