MUKADIMAH
Think City adalah organisasi berfokuskan impak yang ditubuhkan pada 2009 untuk merealisasikan ruang dan bandar yang lebih berdaya mampan dan saksama untuk manfaat semua. Segala pengetahuan, kemahiran dan strategi syarikat tertumpu kepada penyelesaian bandar, komuniti dan budaya ekonomi. Ikuti temu bual secara dalam talian di antara Utusan Malaysia bersama Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed mengenai peranan besar Think City khususnya dalam memperbaiki sistem pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
UTUSAN: Bolehkah anda memberi kami ulasan ringkas tentang bagaimana Think City terlibat dengan isu PPR?
HAMDAN: Penglibatan Think City dalam komuniti merangkumi penyelidikan dan pelaksanaan intervensi dan strategi penyesuaian untuk meningkatkan daya huni perumahan awam di samping menjadikan bandar selamat dan sihat untuk semua. Sebahagian daripada penglibatan Think City dalam isu PPR termasuk mempelopori program Kita Untuk Kita (K2K) yang bertujuan untuk membalikkan arah aliran kemunduran sosial, ekonomi dan fizikal. Ia adalah program daya tahan sosial pelbagai dimensi untuk mengukuhkan kepimpinan masyarakat, perpaduan sesama komuniti dan kesejahteraan sosial, menangani isu mata pencarian dan kos sara hidup serta mencari jalan untuk memperbaiki sistem pengurusan perumahan awam. Think City juga sedang menjalankan kajian program pengurusan sisa di PPR dengan kerjasama pelbagai pihak untuk mencari jalan penyelesaian peningkatan kualiti kesihatan dan kesan terhadap alam sekitar.
Apakah projek PPR pertama yang dibangunkan dengan kerjasama Think City atau menjalani aktiviti bersama?
Kami telah bekerjasama dengan organisasi akar umbi untuk membangunkan kebun komuniti di Kota Damansara pada 2016. Seterusnya, kami melancarkan program K2K sewaktu pandemik Covid-19 melanda dan perintah kawalan pergerakan diperkenalkan. Kami melihat isu daya huni seperti kualiti hidup, kesihatan, kesejahteraan komuniti dan keperluan makanan bernutrisi semakin menekan komuniti di PPR. Di samping menjalankan intervensi rintis di PPR, kami juga menjalankan kajian dalam usaha bersama dengan komuniti tempatan, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sama ada di dalam atau luar negara.
Apakah isu- isu mendesak yang dihadapi oleh pihak berkepentingan di ekosistem PPR?
Liveability atau berdaya huni adalah salah satu isu yang sering timbul dan ia boleh ditakrifkan sebagai kualiti hidup yang dialami oleh individu yang melibatkan pelbagai faktor seperti infrastruktur fizikal, kesejahteraan sosial dan mental, dan ruang sedia ada. Aspek keselamatan, kesihatan fizikal, kesihatan mental, akses kepada perkhidmatan, mobiliti dan pengangkutan, peluang penyertaan sosial, faktor persekitaran dan kos sara hidup biasanya digunakan sebagai penanda aras untuk menilai liveability. Ditambah dengan keupayaan dan peluang untuk mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan, di mana aduan dan kebimbangan yang diketengahkan bukan sahaja diiktiraf tetapi juga ditangani dengan cara yang tepat pada masanya dan profesional.
Sejak akhir-akhir ini, liveability semakin dilihat sebagai tunjang dalam perbincangan ke arah memperbaiki keadaan sedia ada, terutamanya untuk membimbing program atau pelaksanaan dasar pada masa hadapan. Ini boleh menjadi antara sebab mengapa kerajaan memperkenalkan Malaysia’s Liveable Index. Bagi pihak berkepentingan dalam komuniti PPR, selalunya isu seperti sumber, jenis intervensi termasuk penjujukan jenis intervensi berdasarkan keutamaan, kemampanan program yang dilaksanakan dan daya tahan serta perpaduan komuniti adalah beberapa isu yang lazimnya berpunca apabila kita tidak menangani faktor-faktor yang menjejaskan aspek berkenaan.
Apakah yang mahu dicapai melalui persidangan PPR, Rights to the City (R2C)?
Persidangan itu bertujuan untuk memberi ruang kepada semua pihak berkepentingan untuk menilai kualiti hidup dan mata pencarian komuniti perumahan awam, melihat aspek pelbagai faktor yang mungkin membawa kepada situasi sedia ada, sambil meneroka amalan terbaik untuk meningkatkan liveability daripada pelbagai perspektif, dan berkongsi cadangan praktikal mengenai bagaimana untuk meningkatkan daya huni perumahan awam.
Kami ingin mengetengahkan isu daya huni di perumahan awam kepada pihak berkepentingan dan juga warga awam. Persidangan ini juga telah memberi ruang kepada wakil komuniti untuk berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam mengemudi program dan inisiatif di PPR demi untuk meningkatkan daya huni di PPR. Satu slot khas untuk wakil komuniti berkongsi pendapat dan pengalaman telah dilaksanakan dan mendapat sambutan dan maklumbalas positif daripada peserta persidangan tersebut.
Siapakah pihak berkepentingan yang Think City sasarkan untuk bekerjasama meningkatkan daya huni komuniti PPR dalam jangka masa yang panjang?
Kerajaan dan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa untuk membuat perubahan untuk melihat usaha yang telah dilaksanakan oleh pelbagai organisasi dalam skala kecil. Terdapat banyak potensi untuk sinergi ke arah intervensi yang lebih mampan dan holistik. Kami berbesar hati apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyuarakan pendapat yang sama dan senada dengan keperluan untuk melihat perumahan awam dari aspek daya huni. Selain itu, kami juga berminat untuk bekerjasama dengan sektor swasta yang boleh memainkan peranan penting dalam pemulihan dan pembinaan semula komuniti, terutamanya di waktu pasca-pandemik. – UTUSAN