Terima 19 aduan sejak portal aduan buli dilancarkan Khamis lalu

Terima 19 aduan sejak portal aduan buli dilancarkan Khamis lalu

RADZI Jidin mendengar penerangan semasa melawat ruang pameran selepas Majlis Pelancaran DELIMa: Agenda Digital Kita di SMK Putrajaya Presint 8 (1). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 19 aduan berkaitan kes buli di sekolah diterima Kementerian Pendidikan (KPM) selepas portal aduan buli dilancarkan pada Khamis lalu.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, daripada jumlah tersebut sebanyak 16 aduan diterima menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) manakala tiga lagi aduan melalui aplikasi WhatsApp.

“Kita turut terima lima panggilan menerusi telefon (fix line) tetapi ia bukannya aduan (kes buli) tetapi hanya lah pertanyaan serta dua panggilan (juga mengenai) pertanyaan menerusi telefon bimbit dan 10 lagi pertanyaan di aplikasi WhatsApp. Itu merupakan data terkini selepas kita lancarkan portal aduan buli pada minggu lepas.

“Ibu bapa serta pemegang taruh dalam sektor pendidikan melihat platform ini bukan sahaja digunakan untuk membuat aduan tetapi juga mengajukan pertanyaan serta memberi maklum balas. Apa yang penting, aduan yang dibuat itu mestilah lengkap dengan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Platform Pembelajaran Digital KPM Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa): Agenda Digital Kita di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) di sini hari ini.

Jelas Radzi, KPM juga tidak menganaktirikan mana-mana sekolah dan akan membuat penelitian secara mendalam sebelum mengambil tindakan sewajarnya berkaitan kes yang dilaporkan.

“Apa yang paling penting sistem itu memberi impak yang optimum maka dengan adanya sistem ini tak kira di negeri mana sama ada luar bandar, bandar, asrama atau sekolah harian apa yang penting maklumat kes tersebut sampai ke kementerian secepat mungkin dan kita ambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Khamis lalu, media melaporkan portal aduan buli dilancarkan bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada KPM.

Radzi berkata, portal aduan buli yang boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan tiga saluran untuk orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.

Saluran tersebut adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), emel ([email protected]) atau aduan SISPA KPM yang tersedia di portal aduan tersebut.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, KPM komited untuk memperkasa penggunaan DELIMa melalui pembangunan versi baharu yang menggabungkan tiga aspek penting iaitu pembelajaran yang diperibadikan, pengalaman pengguna dan analisis data.

Menurutnya, ketiga-tiga aspek berkenaan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin yang memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid.

“Sehingga 4 Ogos lalu, sebanyak 99 peratus guru dan 85 peratus murid menggunakan DELIMa dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara aktif dengan melibatkan 5.3 juta pengguna di sekolah-sekolah KPM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya