SEREMBAN: Pemilik lembu baka sado jenis Angus yang diberi nama ‘Tam’ tidak berhasrat menjual ternakan kesayangannya itu walaupun ada yang menawarkan pada harga tinggi.
Pemiliknya, Azrin Anil Khalid, 26, dari Kampung Tanjung Agas, Port Dickson berkata, lembu jantan seberat 730 kilogram (kg) yang mempunyai bulu hitam berkilat dan berotot itu sangat manja walaupun secara fizikal ia kelihatan garang.
“Saya sangat sayangkan Tam, menjadi rutin harian untuk memandikan dan memberi dia makan setiap hari, selain itu lembu sado ini lebih mudah didekati, bila selalu digosok makin jinak.
“Sebelum ini, ada seorang penternak dari Rembau sanggup membeli Tam pada harga lebih RM30,000, orang tawar harga lebih tinggi pun saya tidak akan jual,” katanya ketika ditemui pada Pameran Lembu Sado di NS Fest 2022 di Dataran Nilai di sini.
Tam turut berjaya menarik perhatian juri sekali gus dinobatkan Johan dalam Pertandingan Baka Unggul (Kategori Pejantan Hibrid Sado yang diadakan sempena NS Fest 2022.
Menurut Azrin Anil, Tam yang berusia dua tahun satu bulan itu dihasilkan menggunakan teknik Permanian Beradas (AI) dengan memasukkan benih baka lembu Angus yang diimport dari Perancis ke dalam alat kelamin lembu betina tempatan.
“Lembu ini mampu menghasilkan otot berganda dan saya baru pertama kali masuk pertandingan ini tidak sangka Tam menang.
“Baka Angus ini menghasilkan daging yang sedap untuk dibuat ‘stik’, masih jarang penternak membela baka ini berbanding baka import lain seperti Charolais, Limosin, Indra dan Brahman Merah,” katanya.
Jelas Azrin Anil, dia yang meneruskan legasi keluarga dalam bidang penternakan kini beralih kepada lembu sado sejak tiga tahun lalu kerana hasil pulangannya lebih dua kali ganda berbanding lembu kampung.
“Penjagaan lembu sado ini sama seperti lembu tradisional diberi makan dedak dan rumput setiap hari.
“Hasil diterima juga sangat berbaloi dan mampu mencecah keuntungan berkali-kali ganda, buat masa ini saya berhasrat untuk biakkan lagi lembu sado baka Angus ini kerana dagingnya mempunya permintaan tinggi,” katanya.
Tambahnya, baka Angus itu diperoleh secara percuma daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan beliau turut menggalakkan penternak beralih kepada penternakan lembu sado yang boleh menambahkan lagi pendapatan. – UTUSAN