KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran menyifatkan penyertaan Johan Raja Lawak dan Fizi Ali dalam keluarga Hot FM bertepatan dengan hala tuju dan misi stesen radio tersebut.
Katanya, kehadiran dua penyampai radio itu ke Hot FM bukan strategi untuk ‘menikam belakang’ stesen radio lain, sebaliknya ia memberikan persaingan sihat dan membantu memantapkan lagi pengisian stesen terbabit.
“Kami nampak bakat mereka, malah nama Fizi dan Johan memang termasuk dalam senarai penyampai yang kami mahukan. Cuma, kami takut jika mereka tolak tawaran diberikan.
“Selepas perbincangan demi perbincangan dibuat, mereka terima dan mengakui hala tuju stesen ini bersesuaian dengan misi mereka.
“Tidak timbul soal siapa sailang siapa kerana Johan contohnya, sebelum ini pernah bersama stesen radio nombor satu. Kenapa pula dia mahu sertai stesen (radio) nombor tiga?” katanya ketika ditemui pada sesi Jom Bekpes Bersama Hot FM di Sri Pentas Bandar Utama, di sini, semalam.
Nazri juga menegaskan, dia tidak mahu dibabitkan dengan masalah yang timbul antara Fizi dengan bekas majikannya yang tercetus, baru-baru ini.
“Saya tak boleh komen tentang apa yang berlaku antara kakitangan dengan majikan terdahulu. Asalkan mereka hormati kontrak dan tinggalkan syarikat lama dengan cara betul, rasanya tiada masalah.
“Fizi telah melakukan apa yang perlu dan menyelesaikan apa yang perlu diselesaikan. Tak ada apa-apa yang perlu saya komen tentang itu,” katanya lagi.
Menjawab tentang tawaran yang diberikan kepada dua penyampai popular itu, Nazri memaklumkan, pihaknya hanya menjanjikan persekitaran kerja yang lebih baik dan perkembangan kerjaya yang positif.
“Terus terang saya katakan, bayaran terlalu tinggi tidak ada . Apa-apa pun, itu antara kami dengan mereka dan kita perlu hormati perkara itu.
“Hendak kata tawaran lebih baik, tidak. Kami hanya janjikan persekitaran lebih baik,” jelasnya.